lightning-solid
Berita :
PKM Pengkalan Berangan Siap Siaga Hadapi Musim Banjir
PKM Pengkalan Berangan Siap Siaga Hadapi Musim Banjir
Abdul Fattah Kamarudin
12 Nov 25
121

MARANG, 12 November – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Pengkalan Berangan bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada 13 November ini.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Mohd Rusbi, berkata persiapan perlu dilakukan lebih awal memandangkan kawasan ini sering dilanda banjir setiap tahun.

“Seperti yang kita tahu, kawasan Pengkalan Berangan sering terjejas setiap kali musim tengkujuh. Jadi sebelum musim ini tiba, kita perlu memastikan segala kelengkapan dan jentera berada dalam keadaan bersiap siaga.

“Antara cabaran utama misi banjir ialah perubahan lokasi yang dinaiki air setiap tahun. Jadi, bagi kawasan yang dikenal pasti berisiko, pasukan kami akan melakukan pemantauan rapi dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Wakaf Tapai, semalam.

Sementara itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan membuat persediaan awal menghadapi musim tengkujuh.

“Penduduk dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca semasa dan tidak menunggu sehingga air naik baru mahu berpindah.

“Kumpulkan dokumen penting dan sediakan keperluan asas lebih awal bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan