Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, susulan kejadian itu, polis menerima lima laporan mengenai berita yang mengandungi unsur fitnah terhadap Mohd Sabri disiarkan portal terbabit sejak kelmarin.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan pemilik portal itu boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Setakat ini polis sudah menerima lima laporan yang meminta siasatan dan tindakan undang-undang dikenakan keatas pemilik portal serta penulis berita berkenaan," katanya.
Sebelum itu, Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Abdul Razak Ali membuat laporan polis mendesak pihak penguatkuasa mengambil tindakan terhadap penulis berita dan pemilik portal dipercayai milik sebuah parti pembangkang yang menyiarkan berita berunsurkan fitnah.
Katanya, laporan itu dibuat selepas tersebarnya kenyataan palsu dan berniat jahat itu menerusi portal rasmi milik parti pembangkang sejak tengah hari semalam.
"Penulis portal menyiarkan berita palsu dan mengandungi usur fitnah yang kononnya Mohd Sabri mengeluarkan kenyataan amaran akan mengambil tindakan keatas pengundi yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).
"Kenyataan disiarkan dan ditular di media sosial termasuk Facebook (FB), Buletin Online dan Kumpulan p FB Gabungan Anak Terengganu (GATE) adalah palsu serta sengaja direka bertujuan menghasut rakyat terutamanya pengundi di Parlimen Kuala Terengganu untuk merosakkan reputasi selain menjatuhkan maruah Mohd Sabri," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, hari ini.
Turut membuat laporan meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci adalah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Mohd Armi Irzan Mohamad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Nia Notieya Zaharuddin.
Tambah beliau lagi, pihaknya juga menuntut pemilik portal dan penulis berita itu memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.