Polis Tubuh ‘Task Force’ Cegah Kes Curi Tabung Masjid

KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Polis Terengganu menubuhkan pasukan petugas khas (task force) bagi mencegah kegiatan pecah dan curi tabung masjid di Terengganu sepanjang Ramadan kali ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, usaha itu dibuat menerusi kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Beliau berkata pengaktifan semula Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) akan membantu polis membuat rondaan untuk mengekang jenayah tersebut selain menjamin keselamatan penduduk.

“Pasukan khas ini akan mengadakan rondaan terutamanya pada waktu malam, manakala pada waktu siang rondaan akan dijalankan pihaknya menerusi program 1 Masjid 1 Polis,” katanya.

Sementara itu katanya, jawatankuasa rumah ibadah khususnya masjid dan surau dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya.

“Seperti memasang CCTV di kawasan strategik, menggunakan tabung yang diperbuat daripada bahan yang kukuh dan sentiasa mengutip sumbangan secara harian dan menyimpan di tempat yang lebih selamat,” ujarnya.