Berita :
Dua Sahabat Dari Singapura Tempuh Sembilan Jam Demi Kuliah Ustaz Azhar Idrus
Dua Sahabat Dari Singapura Tempuh Sembilan Jam Demi Kuliah Ustaz Azhar Idrus
Amirul Mohd
1 jam yang lepas
60

MARANG, 13 Mei – Minat mendalam terhadap ilmu agama mendorong dua sahabat dari Singapura sanggup menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dengan menaiki kereta semata-mata untuk menghadiri kuliah dan bertemu pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.

Salah seorang daripada mereka, Yusri Yusuf, 43, dari Jurong East, Singapura berkata, beliau amat bersyukur apabila impiannya untuk bertemu pendakwah berkenaan akhirnya tercapai.

Menurutnya, perasaan itu sukar digambarkan kerana hasrat tersebut sudah lama disimpan.

“Tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan saya. Alhamdulillah, walaupun pada awalnya kami tersalah pergi masjid, Allah mudahkan urusan dan kami sempat sampai serta mendapat saf hadapan,” katanya ketika ditemui.

Yusri berkata, tujuan utama beliau datang ke Malaysia hanyalah untuk menghadiri kuliah berkenaan dan bertemu sendiri dengan Ustaz Azhar sebelum pulang ke Singapura pada keesokan harinya.

“Hajat saya memang satu sahaja, nak jumpa ustaz. Alhamdulillah, hajat itu tercapai,” katanya.

Rakannya pula memberitahu, beliau mengikuti kuliah Ustaz Azhar sejak lebih tiga tahun lalu menerusi platform media sosial termasuk TikTok dan YouTube.

Katanya, sejak sekian lama beliau menyimpan hasrat untuk hadir sendiri ke kuliah pendakwah itu.

“Saya dah lama ikut kuliah ustaz. Banyak perkara yang saya ingin pelajari dan tanyakan. Jadi apabila dapat tahu mengenai program ini, saya terus ambil peluang untuk datang,” katanya.

Menurut mereka, maklumat mengenai program berkenaan diperoleh menerusi media sosial seperti TikTok, X dan Facebook.

Walaupun perjalanan jauh itu dipenuhi pelbagai cabaran, kedua-duanya tetap bersyukur kerana urusan mereka dipermudahkan.

“Sepanjang perjalanan macam-macam berlaku, tetapi Alhamdulillah, Allah mudahkan. Kami bergilir-gilir memandu, jadi perjalanan terasa lebih ringan,” kata mereka.

Kisah dua sahabat itu mencuri perhatian kerana membuktikan kecintaan terhadap ilmu agama dan para ulama mampu menggerakkan seseorang merentas sempadan negara demi menuntut ilmu serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan