Potensi Besar Ekonomi Terengganu


 
Dr. Ahmad Samsuri (kanan) bersama Datuk Ignatius Darell Leiking (kiri).

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Terengganu memiliki potensi besar dalam ekonomi terutama membabitkan sektor pembangunan perindustrian, pelaburan dan perdagangan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking berkata, Terengganu pada tahun lalu mencatatkan jumlah perdagangan berjumlah RM24.23 bilion.

Jelasnya, jumlah perdagangan itu meliputi nilai eksport sebanyak RM20.7 bilion yang melibatkan ‘mineral fuel’, ‘lubricant’ dan bahan kimia sebagai eksport utama.

“Terengganu mempunyai potensi yang sangat besar. Daripada data yang kita ada di MITI, kita sangat berbangga untuk beritahu bahawa Terengganu menyumbang amaun Gross Domestic Product (GDP) yang besar kepada negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja Ke Terengganu di Pejabat Menteri Besar, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
 
Sidang media.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azhar Abdul Hamid serta Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.

Ignatius Darell berkata, rakyat Terengganu juga mempunyai banyak potensi dan kebolehan dalam bidang tertentu yang mampu menyumbang ke arah perkembangan ekonomi negeri.

Beliau juga memuji langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan negeri sehingga menyumbang kepada pembangunan negeri yang cemerlang.

Ini terbukti apabila sektor pembuatan, jumlah pelaburan yang diluluskan di Terengganu pada 2018 meningkat berlipat kali ganda dengan nilai RM4.9 bilion berbanding RM73.1 juta pada tahun sebelumnya.
 
Mesyuarat penuh bersama MITI dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri.
“Pelaburan asing berjumlah 4.6 bilion, manakala pelaburan tempatan mencatatkan RM321 juta.

“Ia melibatkan 11 projek dan berpotensi menjana hampir 2,000 peluang pekerjaan yang menjadikan produk besi, bahan kimia dan produk kayu sebagai sektor utama,” tambah beliau.

Tag: