Potongan Harga Barang Sempena Jualan Malaysia Di KTCC Mall

KUALA TERENGGANU, 23 September – Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang akan berlangsung di KTCC Mall bermula 24 sehingga 27 september ini menawarkan potongan harga menarik bagi setiap barangan terpilih.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, PJM dan KBBM berperanan untuk memulihkan dan merancakkan kembali sektor ekonomi terutamanya sektor peruncitan di negara.

"Program ini berkonsepkan pameran dan jualan yang melibatkan 28 usahawan dari Negeri Terengganu. Promosi, diskaun dan tawaran istimewa oleh premis-premis jualan di KTCC Mall berpotensi untuk menarik minat pengunjung untuk datang.

"Selain itu, persembahan buskers dan sesi interaktif bersama pengunjung dan para peserta juga akan dilaksanakan seperti segmen 'Mengopi Bersama Ustaz Azhar Idrus', sembang santai bersama usahawan, taklimat kepenggunaan dan kuiz," katanya ketika bersiaran di Studio TVDI hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, konteks pelaksanaan usaha seperti PJM dan KBBM ini adalah terbuka untuk semua bentuk perniagaan terutamanya dalam sektor peruncitan tanpa mengira saiz seperti di pasar raya, perkakasan rumah, perniagaan atas talian dan sebagainya.

“Banyak sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19 disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikenakan di premis-premis perniagaan serta faktor keselamatan keluarga.

“Oleh itu, kita mahu mempromosikan kembali sektor peruncitan negeri dan membantu semua golongan peniaga domestik.

“Program ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu bersama Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan KTCC Mall," tambahnya.