Primula Agih 800 Jalur Gemilang, Semarak Sambutan Kemerdekaan

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan Primula Beach Hotel mengagihkan  800 helai Jalur Gemilang kepada orang awam untuk dikibarkan di rumah dan kenderaan sempena sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-65, Rabu ini.

Pengurus Besarnya. Suaibah Harun berkata, ia bukan saja untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 tetapi juga membangkitkan kesedaran rakyat terhadap jasa dan pengorbanan orang terdahulu berjuang memerdekakan negara.

Katanya, rakyat pada semua peringkat perlu menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara melalui pengibaran Jalur Gemilang sebagai lambang kebebasan serta kemajuan yang sudah dicapai.

“Masyarakat khususnya generasi muda, harus sedar bahawa keselesaan yang dinikmati ketika ini adalah hasil jasa dan pengorbanan nenek moyang sejak ratusan tahun lalu.

"Mereka perlu meningkatkan semangat patriotik agar negara ini tidak dijajah semula oleh bangsa lain di dunia,” katanya selepas program Agihan Jalur Gemilang di KTCC Mall, semalam.

Tambahnya, program ini merupakan salah satu platform yang terbaik dan berkesan bagi menyebarkan semangat kemerdekaan dan mengangkat tinggi Jalur Gemilang tanda kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

Suaibah juga berkata, selain pengagihan Jalur Gemilang, pihaknya juga menghiasi persekitaran hotel dengan kibaran bendera bagi menyemarakkan suasana sepanjang bulan kemerdekaan.

Selain itu, bagi memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini Primula Beach Hotel juga mengadakan promosi-promosi jualan seperti Mat Kilau ‘Buffet Supper’ dan Merdeka ‘Chicken Rice Set’ dengan harga berpatutan yang boleh dinikmati oleh para tetamu dari dalam dan luar negeri yang berakhir  pada hujung bulan Ogos ini.