Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
Program Bakti Siswa Dekatkan Mahasiswa Bersama Masyarakat
Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial Gunaan Sesi 2016/2017 Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA) Kuala Terengganu menganjurkan Prog ram Bakti Siswa di Kampung Kuala Telemong untuk mendekatkan diri mahasiswa dengan masyarakat setempat.
Pengarah program tersebut, Mohd Aswan Mohd Amin berkata, tujuan utama perlaksanaanya adalah untuk membina ukhwah antara mahasiswa dengan penduduk kampung di samping membangunkan sahsiah diri mereka dengan penerapan ilmu teori dan praktikal.
Katanya lagi program selama tiga hari dua malam ini berupaya membentuk modal insan yang holistik dan mempunyai personaliti unggul kepada mahasiswa dalam mencurah bakti kepada masyarakat.
"Usaha itu merupakan platform untuk ahli-ahlinya membentuk jati diri bagi menempuh alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian nanti.
"Sebab itu lah mahasiswa perlu didedahkan dengan dunia realiti masyarakat hari ini agar dapat memberi kesedaran bahawa betapa pentingnya tanggungjawab dan peranan mereka untuk menabur bakti kepada masyarakat setempat,"katanya kepada Teganukita di Majlis Perasmian Program Bakti Siswa,hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri Terengganu Dato' Rozi Mamat di Dewan Sivik Kuala Telemong.
Turut hadir Penolong Naib Canselor UniSZA,Dr Afandi Mohammad.
Seramai 71 mahasiswa UniSZA dengan 40 buah keluarga angkat dari Kuala Telemong terlibat dalam Program Bakti Siswa kali ini.
Mohd Aswan berkata, sepanjang tempoh tersebut, kesemua peserta menginap di rumah ibu bapa angkat dan mereka didedahkan dengan pelbagai perkara berkaitan dengan jati diri.
"Kesemua peserta yang menyertai program ini adalah pelajar Sains Sosial Gunaan yang mengambil kos Ijazah Sarjana Muda Antropologi Dan Dakwah serta kos Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial.
"Melalui program ini juga para pelajar dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi antara mereka dengan penduduk setempat yang merupakan salah satu elemen penting dalam bidang pengajian mereka,"katanya.
Sepanjang program tersebut, para peserta turut bergotong-royong dan menyertai aktiviti masyarakat setempat.
Jelas Mohd Aswan lagi, dengan adanya program sebegini, para peserta dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kelas ke dunia sebenar.
"Pihak fakulti juga meninggalkan projek minimalis iaitu Pusat Impak Kekal 'Siswa Dan Komuniti' untuk kegunaan jangka panjang oleh penduduk Kampung Hulu Telemong.
"Sebuah perpustakaan mini di Pusat Impak Kekal ini di tinggalkan oleh kami bagi kegunaan warga kampung dan merupakan tanda bakti kami kepada mereka,"katanya lagi.
Sementara itu, seorang peserta, Sharifah Nurnadia Syed Nazli,20,dari Putrajaya yang merupakan pelajar tahun satu mengakui gembira dapat mengikuti program berkenaan.
"Pengalaman pertama kali menyertai program banyak membantu saya terutama dalam aspek komunikasi dan pergaulan dengan orang kampung kerana saya berasal dari bandar.
"Sepanjang tiga hari dua malam bersama keluarga angkat cukup teruja,dan saya belajar banyak perkara termasuklah kebudayaan penduduk setempat dan semangat tolong menolong antara satu sama lain,"Kata Sharifah Nurnadia.