Program `Jinak Kelah' JaPen Suntik Suasana Berbeza
Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JaPen) menganjurkan Program Media Engagement-Jinak Kelah 2017 dengan pengamal media selaku rakan strategik JaPen bagi memperkukuhkan semangat kerjasama dalam suasana berbeza dan lebih santai.
Program tahunan itu disertai 25 pengamal media daripada pelbagai agensi media cetak, elektronik dan media dalam talian termasuk pegawai serta kakitangan JaPen.
Penolong Pengarahnya, Azmee Mohd Noor berkata Media engagement merupakan acara tahunan bagi menyantuni rakan-rakan media sebagai rakan strategik JaPen Terengganu dan mengeratkan lagi silaturahim yang telah sedia terjalin.
"Pada tahun ini, JaPen mencipta kelainan dengan memilih lokasi kelah santuari sebagai lokasi program dan kelainan itu adalah untuk memberikan suasana lebih santai kepada pengamal media.
"Dalam pada masa yang sama, kita juga dapat mempromosikan pusat pelancongan ini di Tasik Kenyir melalui kehadiran media yang turut bersama dalam program kali ini,"katanya kepada pemberita di Program Media Engagement-Jinak Kelah 2017 di Santuari Kelah, Sungai Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam.
Sementara itu,wartawan Utusan Malaysia, Rosalinda Md.Said,31, berkata, program tersebut memberi peluang kepada pengamal media untuk mengeratkan lagi hubungan antara media dan warga jabatan Penerangan dalam cara yang lebih santai.
"Pengalaman bersama kelah tidak pernah menjemukan saya malah memberikan satu kepuasan tersendiri apabila menjejakkan kaki ke sini.
"Walaupun dah kali ketiga ke sini tetapi saya tidak pernah sekali pun merasa bosan,lebih-lebih lagi dengan telatah kelah yang sangat jinak.. satu pengalaman yang tidak mungkin saya akan temui di tempat lain dan hanya ada di Tasik Kenyir," kata Rosalinda.
Bagi Zatini Yan, 34, dari Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) pula, walaupun dia dan beberapa kakitangan UKOM baru sahaja ke pusat pelancongan itu dengan diketuai Pengarah UKOM, Dato' Muda Mamat pada awal bulan ini, dia tetap teruja untuk menyertainya lagi kali ini bersama lebih 20 rakan media lain.
"Seronok dan sangat mengasyikkan apabila dapat menjinakkan kelah. Suasana itu sukar ditemui di mana-mana destinasi riadah lain. Penat berjalan lebih satu kilometer menuju ke santuari hilang sebaik sahaja dapat bermain dengan kelah.
"Pada masa yang sama, program anjuran jabatan Penerangan ini memberi ruang kita merapatkan hubungan sesasama agensi media yang lazimnya kita temui apabila bekerja di satu bidang komunikasi, tetapi pada kali ini dalam suasana yang berbeza lebih santai serta mesra,",katanya.