Program Kebudayaan Mampu Tonjol Bakat Anak Muda - Hanafiah Mat

Haji Hanafiah Mat (dua dari kanan) menyempurnakan gimik serahan replika kunci daripada Pengarah Syarikat Pembinaan Tetap Teguh. Foto - Syafiq Sapai
KUALA TERENGGANU - Program kebudayaan adalah pentas untuk mencungkil bakat dan kesenian anak muda yang diasah sejak bangku sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat berkata, ianya juga dapat memberi peluang kepada pelajar untuk membuat persembahan kesenian di pentas kecil sebelum ke pentas yang lebih berprestij.

Menurutnya, Program Malam Kebudayaan yang diadakan pada malam ini adalah setiap 2 tahun sekali, dengan tujuan mengumpul dana bagi Tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

"Antaranya bagi menampung kos pengurusan aktiviti kokurikulum dan pembangunan fizikal yang tinggi. 

"Contohnya pasukan pancaragam memerlukan lebih RM100,000 setahun.

"Sudah tentu keterlibatan semua pihak dalam menyumbang akan membantu meringankan dan melicinkan pengurusan dan perjalanan aktiviti sekolah," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Malam Budaya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin di Dewan Wei Sin, SMK Chung Hwa Wei Sin, hari ini (7 September).

Haji Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata, setiap bangsa mempunyai budaya dan seni mereka tersendiri.

"Saya percaya, dengan program seperti ini secara tidak langsung dapat memantapkan kebudayaan Cina yang sememangnya menjadi identiti SMK Chung Hwa Wei Sing ini sendiri," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Pembinaan Tetap Teguh selaku Penaja Utama Program Malam Budaya 2018, Teo Swee Phin berkata, Pembinaan Tetap Teguh sudah berusia 18 tahun bermula dari tahun 2000.

"Saya salah seorang bekas pelajar di sini dan kini adalah masa untuk saya menyumbang kembali kepada tempat yang banyak berjasa ini," jelasnya.

Majlis yang bertemakan 'Autumn Rythm' disempurnakan dengan gimik pukulan gong dan gendang serta serahan replika kunci bas.

Sebanyak RM182,568 telah berjaya disumbangkan kepada tabung PIBG sekolah.

Majlis turut dimeriahkan dengan 18 persembahan terdiri daripada pasukan gendang besar, kumpulan yoyo, kumpulan tarian naga, nyanyian guru, kumpulan tarian singa dan sebagainya.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Haji Safrudin Ali Hussin, Pengerusi PIBG SMK Chung Hwa Wei Sin, Ho Chiow Ven, Pengetua SMK Chung Hwa Wei Sin, Koo Bon Chin dan semua penaja serta penyumbang samada korporat mahupun individu.


Tag: