Program Town Hall MBKT Tambah Baik Proses Kelulusan Pelan Pembangunan Dan CCC

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengadakan program `Town Hall' bagi mendapatkan maklum balas secara langsung dengan pemain industri bagi penambahbaikan proses kelulusan pelan pembangunan dan Pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dalam pembangunan semasa.
Pemangku Datuk Bandar MBKT, Samiun Salleh berkata, sebagai syarikat utama dalam memajukan pembangunan negeri, MBKT julung kali melaksanakan program melibatkan pemain industri yang bekerjasama dengan agensi itu di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri sebagai menangani sebahagian kecil cabaran pembangunan semasa.
Antara yang hadir, Pemaju Hartanah, Persatuan Dewan Perniagaan, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, Arkitek dan agensi teknikal.
“Program ini sebagai persiapan mendepani cabaran kemajuan seperti tekanan pembangunan yang semakin meningkat khususnya di kawasan pusat bandar, dasar pembangunan semasa yang kurang mesra berkaitan syarat penyediaan kemudahan infra dan utiliti, kesedaran awam yang masih endah terhadap pematuhan peraturan berkaitan pemajuan dan sebagainya,"katanya kepada pemberita di Program Town Hall, Dewan Besar Menara PMINT, hari ini.
Samiun berkata, beberapa isu lain turut dibincangkan dalam program berkenaan ialah berkaitan syarat-syarat kelulusan agensi, langkah untuk menambah baik proses kelulusan pelan pembangunan dan tahap profesionalisma pihak perunding.
“Dengan program yang dilaksanakan ini, saya berharap agar pemain industri dan agensi saling memahami syarat dan keperluan masing-masing. Selain itu, segala cadangan yang dikemukakan akan diambil kira untuk penambahbaikan di masa akan datang,” katanya.
Menurutnya lagi, program seperti itu akan diadakan secara berkala untuk membincangkan masalah dan memberi maklum balas secara langsung kepada pemain industri.

Tag: