Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
Ahmad Razif (tengah) melihat model projek selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Puncak Temala, Wakaf Tapai, Marang. Foto oleh Tengku Syamim tengku Ismail |
Projek Puncak Temala bakal menyediakan 685 unit kediaman dan unit komersil, satu lagi lakaran cerita kejayaan kerajaan negeri untuk penduduk Wakaf Tapai, Marang dan sekitarnya.
Pembinaan di kawasan berkeluasan hampir 27 hektar melibatkan tiga fasa merangkumi 100 unit rumah berkembar, 349 unit rumah teres, 160 unit rumah mampu milik dan 76 unit kedai pejabat serta satu lot tapak komersil berhadapan jalan raya utama.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pembangunan perumahan baharu menerusi syarikat pemaju, Temala Development Sdn Bhd (TDSB ) akan menyemarakkan lagi pembangunan setempat khususnya di Marang.
"Kawasan ini boleh menjadi sebuah kawasan pertumbuhan satelit yang baharu sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi daerah serta sekitarnya.
"Kerajaan akan berusaha untuk membina lebih banyak rumah bagi memenuhi kehendak dan kemampuan rakyat sama ada melalui agensi kerajaan sendiri atau melalui inisiatif pihak swasta seperti hari ini,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek pembangunan Puncak Temala, Wakaf Tapai, Marang, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Temala Development Sdn Bhd, Dato' Wan Zakaria Abdul Rahman, ketua-ketua jabatan dan pemimpin parti.
Ahmad Razif berkata, projek itu juga merealisasikan hasrat kerajaan untuk memfokuskan pembangunan dan memenuhi keperluan rakyat merangkumi 3P, dengan P yang pertama, perumahan untuk kakitangan awam yang berpendapatan rendah dan sederhana, selain pendapatan dan peluang pekerjaan.
Lokasi Puncak Temala yang hanya tujuh kilometer dari Plaza Tol Ajil dan 23 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu bukan sahaja lokasi srategik dan baik untuk didiami malah untuk tujuan perniagaan.
Selain itu juga, sebanyak 349 unit rumah teres dua tingkat di Puncak Temala dengan keluasan lebih 11 hektar akan diperuntukkan kepada penjawat awam melalui Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M ).