Projek Roselprenuer Bantu Tingkat Taraf Hidup OKU Pekak

KUALA TERENGGANU, 18 April - Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil membantu meningkatkan taraf hidup ahli persatuan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pekak melalui projek Roselprenuer.

Ketua Projek, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu kumpulan itu setelah menjalankan beberapa siri penyelidikan yang berpotensi untuk dilaksanakan oleh kumpulan sasar.

“Pada tahun 2020, OKU yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah seramai 581,265 orang. Daripada jumlah tersebut, OKU kategori cacat pendengaran mencatatkan 6.3 peratus. Jumlah pekerja cacat pendengaran yang berdaftar dalam organisasi kerajaan atau swasta amatlah rendah, direkodkan hanya sekitar 210 orang OKU dengan masalah pendengaran.

“Oleh itu, satu inisiatif perlu diambil bagi membantu golongan ini dalam memajukan diri mereka melalui ilmu dan teknologi dalam bidang pertanian yang sangat luas dan mudah untuk diaplikasikan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat, UMT, hari ini.

Menurut beliau, penanaman rosel dan penghasilan produk berasaskan rosel merupakan ‘jalan keluar’ yang sesuai dan bertepatan dengan kelebihan yang dimiliki kumpulan itu.

“Projek penanaman rosel ini dijalankan di atas tanah berkeluasan lima ekar yang boleh menampung sebanyak 5,000 polibeg pokok dan usahakan oleh mereka di perkarangan Pejabat Persatuan Orang Pekak Terengganu, Batu Burok.

“Kita perkenalkan projek tanaman rosel melalui program pemindahan ilmu serta mengadakan siri latihan melalui kelas dan juga amali di lapangan.

 “Projek Roselprenuer ini melibatkan hampir 100 orang ahli daripada komuniti OKU Pekak termasuk isi rumah dan sekiranya projek ini mencapai sasaran yang digariskan, kita sedia kembangkan kepada semua ahli OKU pekak yang berdaftar di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, projek Roselpreneur di bawah tajaan dana Yayasan Inovasi Malaysia, Kementerian Sains, Teknolog dan Inovasi (MOSTI) dan dijangka memberi pulangan kira-kira RM1,000 sebulan.

“Projek ini diperkenalkan kepada ahli persatuan OKU pekak pada September 2023 dan pemilihan padanan peserta OKU ini juga berdasarkan kemampuan serta mudah dilaksanakan dengan kos rendah. 

 “Kita terapkan semua aspek bermula dengan langkah pertama penyediaan tapak, semaian, penjagaan tanaman, tuaian dan juga penghasilan produk hiliran seperti jus, jem, aiskrim dan lain-lain,” ujarnya.

Menurut beliau, program berbentuk pemindahan ilmu kepada komuniti itu telah dilaksanakan sejak lebih lima tahun lalu melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang seperti komuniti asnaf, ibu tunggal dan kumpulan B40.

“Beberapa program pemindahan ilmu telah dilaksanakan sebelum ini seperti projek penghasilan baja, projek penanaman Melon Manis Terengganu, projek penanaman sayuran berbuah seperti tomato ceri, bendi, cili, timun batang serta penanaman pelbagai jenis sawi termasuk strawberi tanah rendah.

 Selain itu, OKU Pekak ini juga telah mampu berdikari melalui projek pertanian bandar yang mana telah membuahkan hasil lumayan. 

“Apa yang kita harapkan semoga program pemindahan ilmu dari universiti kepada komuniti seperti ini mampu memberi suntikan semangat dan harapan baharu buat kumpulan sasar untuk keluar daripada kepompong kemiskininan serta mengubah kualiti kehidupan ke tahap lebih baik,” ujarnya.