Promosi Destinasi Pelancongan Menarik Di DUN Telemong
HULU TERENGGANU, 10 Mac-Destinasi pelancongan menarik di sekitar kawasan Telemong akan dipromosikan dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan domestik.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu Telemong menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan pendaratan tuntung di Kampung Temir sebagai salah satu pusat pelancongan berteraskan komuniti dan menjemput pelancong untuk menerokai lokasi menarik yang ada di kawasan berkenaan.
"Telemong kaya dengan destinasi pelancongan menarik seperti Tasik Kenyir dan air terjun Sekayu yang sudah tidak asing lagi di kalangan pelancong.
"Disamping itu terdapat banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati diantaranya makam Sheikh Syarif Al-baghdadi, makam Pahlawan Tok Gajah, makam pejuang Padang Kachung, makam Tun Indera dan sebagainya yang menjadi tarikan kepada pencinta sejarah,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa pelancongan Kebudayaan dan Teknologi negeri, Ariffin Deraman ke Produk Pelancongan 'Community Based Tourism' di Kampung Temir, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, kehadiran pelancong ke kawasan ini juga dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat melalui hasil pertanian, kraftangan dan produk makanan.
"Di sini terkenal dengan masakan tradisional ikan baung tempoyak, kebanyakan pengusaha restoran menjadikan menu ini sebagai tarikan para pelancong untuk bertandang ke sini," tambahnya.