Kerajaan negeri melalui Sekretariat Beautiful Terengganu bersama-sama 50 agensi kerajaan dari negara ini menyertai World Travel Market (WTM) di London sebagai usaha mempromosi Malaysia termasuk Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.
Program yang berlangsung selama tiga hari, berakhir 9 November itu turut disertai lebih 180 negara untuk mempromosi keunikan dan tarikan di negara masing-masing.
Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata WTM 2016 merupakan program pelancongan terbesar di dunia dan platform terbaik bagi memperkenalkan Terengganu di mata dunia terutama kepada masyarakat Eropah.
“Pihak kami mengambil langkah proaktif menjual nama Terengganu sempena WTM 2016 yang membolehkan pelbagai saluran dan ruang dimanfaat, bersemuka dengan pelbagai agensi pelancongan terkemuka dan media luar negara,” katanya dalam kenyataan kepada Teganukita sempena program itu.
Pada program itu, gerai pameran pelancongan Terengganu telah dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 7 November lalu.
Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Abd Rahman.
Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Abd Rahman.