Promosi Terengganu Melalui Makanan
Nasi Dagang Sejuk Beku yang dihasilkan oleh T-Kitchen. Foto oleh Zulkifli C W Putra. |
Kerajaan negeri yakin dapat mempromosikan Terengganu ke peringkat antarabangsa melalui produk makanan tradisional.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dengan penghasilan Terengganu Kitchen ( T-Kitchen), ianya secara jelas dapat mempromosikan pelancongan Terengganu.
Katanya, semua sudah sedia maklum bahawa makanan utama Terengganu adalah nasi dagang.
"Nasi dagang (sejuk beku) ini sudah dibuat inovasi. Ianya bersih dan tidak melibatkan sebarang bahan kimia.
"Teknologi ini kita lakukan bersama antara Universiti Sultan Zainal Abiddin (Unisza) dan T-Kitchen dan nasi dagang ini kalau simpan dengan cara betul boleh bertahan sehingga satu tahun," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kilang T-Kitchen Dan Penyampaian Sijil Halal di Kilang T-Kitchen, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir Speaker DUN, Dato' Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.
Tambah Ahmad Razif, aduan yang diterima sehingga kini banyak memberi kata positif dan rasanya sama seperti nasi dagang yang dijual di kedai dan warung-warung.
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata Nasi Dagang Frozen tersebit mendapat permintaan yang tinggi namun tidak dapat memenuhi permintaan.
"Kita sebelum ini hanya mampu mengeluarkan 1,000 paket untuk satu hari dan ianya tidak mencukupi.
"Sebab tu hari ini kita tengok tidak dapat dipasarkan pun di dalam negeri terengganu sebab produk yang kita pasarkan 1,000 sehari itu memadai atas permintaan yang sedia ada sahaja," katanya.