Ahmad |
Mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said turut diumumkan sebagai calon yang akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengumuman itu sekali gus menjawab teka teki orang ramai yang menyatakan beliau antara penyandang yang tidak akan bertanding bagi memberi laluan kepada calon baharu di kerusi DUN itu.
Majlis pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Negeri Terengganu, Dato’Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada Majlis Pengumuman Calon BN, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Ahmad akan mempertahankan kerusi disandangnya sebelum ini iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Ahmad juga melahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN yang masih mempercayainya untuk bertanding dan bakal meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di DUN itu.
Katanya, beliau mampu dan berkeyakinan tinggi DUN Kijal akan kekal kepada BN berdasarkan sokongan pengundi di kawasan itu sejak sekian lama.
“Begitu juga Parlimen Kemaman dan tiga lagi DUN lain di parlimen itu, dilihat berpotensi penuh untuk menang besar berdasarkan calon-calon yang ditampilkan pada kali ini,” katanya.