Wan Nawawi ketika menjawab soalan Teganukita selepas berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Wisma Darul Iman, pagi ini. Foto oleh Tengku Mohd Syamim Tengku Ismail |
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail bersedia menggalas tugas untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jika diarahkan pucuk pimpinan.
Nawawi, 61, akan menamatkan perkhidmatan sebagai SUK pada akhir Jun ini dan mula bercuti pada 1 Jun dilantik sebagai SUK pada 3 Ogos 2016, selain turut memegang jawatan sebagai Pengerusi TDM sejak 29 Ogos 2017, memulakan perkhidmatan dalam pentadbiran negeri sebagai Pegawai Tadbir Negeri di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu pada 1 Julai 1981.
"Jika saya dipilih bertanding sebagai calon, saya minta sokongan dan saya tidak minta untuk menyokong saya secara membabi-buta,. Minta dengan Tuhan, memilih yang terbaik, sekiranya Tuhan membuka hati mereka untuk memilih saya sebagai wakil mereka, InsyaAllah saya akan memberikan tanggungjawab yang semaksimum mungkin sebagaimana saya berkhidmat sebagai pegawai kerajaan," katanya kepada Teganukita selepas berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Wisma Darul Iman, di Wisma Darul Iman, pagi ini.
Nawawi mengulas demikian sebagai menjawab persoalan berhubung nama beliau antara yang disebut-sebut akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU ini.
Menurut beliau lagi, sebelum ini sudah ditawarkan untuk bertanding, namun menolak atas faktor belum bersedia dan masih mahu terus berkhidmat sebagai pegawai pentadbiran kerajaan.
"Ini tafsiranlah..memang saya sudah berhasrat untuk meninggalkan perkhidmatan ini lebih awal. Berkait sama ada saya bertanding atau tidak, ia juga satu anugerah. Saya tidak melihat ia sebagai satu yang membangggakan, ini tanggungjawab yang perlu saya pikul (jika dipilih).
“Saya tidak tahu..ini sudah diatur oleh Ilahi sepanjang karier saya. Saya selalu menggunakannya sebagai anugerah Ilahi.. seperti juga (kejayaan) dalam bidang-bidang sukan yang saya dapat, betapa besarnya nikmat dan kurniaan Allah kepada saya. Kalaulah saya terpilih saya juga akan mengabdikan diri untuk memberi perkhidmatan (terbaik),”katanya.