PRU15: Polis Terengganu Beri Tumpuan Tujuh Kawasan Panas

KUALA TERENGGANU, 2 November –Polis Terengganu mengenal pasti tujuh kawasan di negeri ini yang dikategorikan sebagai lokasi 'panas' pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada lokasi-lokasi tersebut kerana dikhuatiri berisiko tinggi mencetuskan kekecohan sepanjang tempoh kempen PRU15 bermula Sabtu ini.

Katanya, tujuh lokasi tersebut terletak di Dungun (dua) dan masing-masing satu di Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Besut dan Hulu Terengganu.

“Tujuh lokasi panas ini dikenalpasti berdasarkan situasi lampau, calon dan kelompok tertentu yang dikhuatiri boleh mencetuskan insiden menimbulkan kegusaran masyarakat.

“Selain pemantauan di kawasan terbabit, kita juga memantau status-status berbaur provokasi di media sosial sepanjang musim pilihan raya ini,” katanya selepas menyampaikan taklimat PRU15 di ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Tambah Rohaimi, tahap kesiapsiagaan Polis Terengganu juga berada pada landasan terbaik bagi memastikan kelancaran sepanjang penugasan PRU15.

"Seramai 3, 278 pegawai dan anggota polis akan terlibat mengawal perjalanan PRU15 di lapan kawasan Parlimen di Terengganu.

"Keanggotaan itu turut merangkumi 540 anggota bantuan dari Bukit Aman, Jabatan Relawan Malaysia
(585) dan Polis Sukarelawan (101),"ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya juga telah  bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan PRU15 berlangsung pada musim banjir.

Menurutnya, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, komander pengurusan banjir daerah disandang ketua polis daerah dan diambil alih secara automatik oleh ketua balai bomba daerah sekiranya banjir berlaku pada hari penamaan calon dan pengundian.