Pukat Tunda, Pembuangan Sampah Punca Penyu Mati

KUALA TERENGGANU, 24 Januari – Aktiviti pukat tunda dan pembuangan sampah di kawasan berdekatan pantai, sungai dan perairan air tawar menjadi punca peningkatan kes kematian penyu khususnya dalam tempoh sebulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, susulan itu para nelayan tempatan digesa mematuhi peraturan perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 apabila menjalankan aktiviti penangkapan ikan terutamanya melibatkan bot pukat tunda di samping menggunakan peralatan Peranti Penyisih Penyu (Turtle Excluder Device).

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kematian reptilia marin ini akibat tersangkut dan lemas pada pukat tunda tempatan yang beroperasi di lautan, dengan alat tersebut haiwan marin yang terperangkap terlepas jika sekiranya memasuki ke dalam pukat tunda ketika operasi menunda sedang dijalankan.

“Punca kedua kes sebegini dikesan apabila penyu ditemui terdampar mati di pesisir pantai, hasil siasatan mendapati terdapat sisa plastik di dalam badan mereka.

“Plastik dan sisa buangan manusia adalah daripada masyarakat dan pengguna-pengguna laut termasuk para nelayan. Oleh itu, kempen ‘Save Our Sea’ yang telah diadakan adalah bagi memberi kesedaran kepada komuniti dan para nelayan supaya tidak membuang sampah ke laut dan kawasan pantai,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Jelas Ruzaidi, pihaknya sentiasa menjalankan solusi berterusan dengan penguatkuasaan pematuhan peraturan perikanan kepada pengusaha bot nelayan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kita juga menggalakkan agar pemilik vesel pukat tunda pantai untuk menaiktaraf vesel mereka supaya dapat melaksanakan operasi di kawasan perairan yang lebih jauh iaitu melebihi 12 batu nautika supaya tidak memberikan tekanan ke atas sumber perikanan di pesisiran pantai khususnya,” katanya lagi.

Tegas Ruzaidi, sampah sarap yang dibuang di kawasan tidak sepatutnya akan hanyut ke laut sekali gus mengancam hidupan marin termasuk penyu.

Susulan itu juga, beliau juga mahu orang awam untuk segera memaklumkan kepada Jabatan Perikanan atau menghubungi talian pusat komunikasi perikanan (Fish Comm) di 03-88885019 atau 03-88704058, sekiranya menemui penyu hidup atau mati untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, sebanyak 51 kes kematian reptilia berkenaan telah direkodkan di seluruh Terengganu tahun lalu manakala 11 kes dikesan sehingga bulan ini.