Pulau Kekabu, Marang Zon Mandian Selamat
Rozali melihat kaedah memproses air nira ketika Program Menyelusuri Sungai Marang YDP Bersama Media, semalam. |
Majlis Daerah Marang (MDM) bercadang menjadikan pesisiran pantai di Pulau Kekabu, Marang sebagai lokasi zon mandian selamat untuk orang ramai menjalankan aktiviti air dan mandi-manda.
Yang Dipertua MDM, Rozali Salleh, berkata kawasan pantai seluas kira-kira 100 meter yang sebelum ini menjadi kawasan larangan dijangka akan dibuka secara berjadual bermula Mei ini dengan menempatkan pasukan penyelamat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, pihaknya sudah memperincikan perkara itu dengan pihak terbabit termasuk, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi merealisasikannya.
“Mereka menyatakan persetujuan dan bersedia bertugas pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
“Kewujudan zon tersebut, pastinya mampu menambah kedatangan pengunjung ke kawasan itu untuk pelbagai aktiviti lain, termasuk berkelah dan beriadah,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menyelusuri Sungai Marang YDP Bersama Media, di pulau itu, semalam.
Kira-kira 50 peserta terdiri daripada pengamal media pelbagai agensi, kakitangan MDM dan penduduk setempat mengikuti program itu.
Rombongan dibawa melawat kebun kelapa pandan, kebun madu kelulut, melihat kaedah menganyam atap nipah, memproses manisan kelapa dan proses rokok daun.
Rozali turut memberitahu MDM akan menambahkan beberapa kemudahan lain, termasuk kiosk jualan dan buaian ala Lombok sebagai tarikan untuk orang ramai beriadah bersama keluarga di Pulau Kekabu.
Katanya, istimewanya zon mandian itu berdekatan dengan Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu yang siap dinaiktaraf pada 2015 dengan peruntukan RM700,000.
“Dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk lalauan penjalan kaki, taman permaian kanak-kanak dan tandas awam,”katanya..