Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Pusat Antarabangsa UniSZA : Bina Reputasi Pendidikan Bertaraf Dunia
KUALA NERUS, 14 Februari – Sejak ditubuhkan pada 2014, Pusat Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa berada di barisan hadapan dalam menarik pelajar antarabangsa dari seluruh dunia sekali gus mempopularkan Terengganu sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia.
Pengarahnya, Anuar McAfee, berkata universiti itu telah berkembang pesat dari segi pengambilan antarabangsa berbanding zaman Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) hasil sebaran dari mulut ke mulut, kemajuan fasiliti universiti dan persekitaran negeri yang aman.
“Apabila saya memegang jawatan (sebagai pengarah) 8 tahun lalu, antara persoalannya adalah bagaimana kita boleh menarik orang luar ke sini kerana ramai antara mereka lebih gemar tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Namun begitu, Pusat Antarabangsa dan kemasukan kami berkembang setiap tahun walaupun berdepan saingan daripada universiti pantai barat, bermula dengan 200 orang pelajar meningkat kepada 600 sehingga hari ini dengan lebih 1,170 pelajar dari 40 negara.
“Jika bertanya kepada mereka (pelajar), kebanyakkan menyatakan keterujaan tinggal di Terengganu, menyifatkan ia sebagai tempat yang kondusif untuk belajar, tenang, selamat, murah untuk didiami dengan kualiti pendidikan bertaraf dunia di UniSZA,” katanya yang juga pensyarah Bahasa Inggeris berasal dari Kanada.
Jelasnya, antara faktor lain yang menarik minat warga asing untuk datang dan melanjutkan pengajian tinggi, adalah disebabkan hubungan erat antara pelajar dan kakitangan yang sentiasa terjalin.
“Sesetengah pelajar lebih suka tinggal di sini berbanding pantai barat, melihat UniSZA lebih kecil berbanding 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain.
“Pada permulaannya, kebanyakan kemasukan adalah dari Brunei, Indonesia, Singapura dan lain-lain sehingga pertengahan 90-an dengan mahasiswa China yang mengambil pengajian Islam. Namun pada 2006, kami terpaksa melakukan pengemaskinian besar apabila KUSZA dinaiktaraf sebagai Universiti Awam.
“Kini dengan fakulti baharu, program, pengembangan dalam penyelidikan, pengantarabangsaan bermula secara beransur-ansur sehingga UniSZA menjadi pilihan utama terutamanya di kalangan warga Jordan, Indonesia, Nigeria dan ramai lagi melalui pemasaran dari mulut ke mulut,” tambahnya.
Tambahnya ketika ditemubual pemberita, dengan sekatan COVID-19 yang semakin longgar, anjuran program pelajar antarabangsa dan masyarakat adalah cerah dengan program pertama tahun ini ialah pembersihan pantai Seberang Takir.
“Kami berharap jurang antara rakyat Terengganu tempatan dan siswazah antarabangsa akan berkurangan, menerusi lebih banyak aktiviti seperti dengan masjid awam, program alam sekitar dan banyak lagi.
"Ini bukan sahaja membuka peluang untuk ikatan antara budaya tetapi juga meningkatkan ekonomi tempatan dan pelancongan untuk negeri ini," katanya lagi.