Pusat Hemodialisis Di Telaga Daing Dijangka Operasi Februari Ini


Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Dato' Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut memotong rambut seorang kanak-kanak sambil diperhatikan Menteri Besar sempena Karnival Jom Kembali Ke Sekolah DUN Seberang Takir di Dataran Permata, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Pusat hemodalisis baharu di Kampung Telaga Daing, Kuala Nerus dalam proses akhir penilaian oleh Kementerian Kesihatan sebelum dijadualkan beroperasi bermula Februari ini.

Kemudahan kesihatan bernilai RM1.4 juta itu kini dalam kerja-kerja akhir penilaian bagi memastikannya bebas dari kulat sebelum dibuka kepada orang ramai.

Menteri Besar, Dato'  Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Kementerian Kesihatan perlu melaksanakan pemeriksaan secara rapi dan mengeluarkan kelulusan untuk memastikan pusat perubatan yang dilengkapi kemudahan 24 mesin dialisis itu benar-benar selamat.


"Pusat hemodialisis ini yang pertama di Malaysia menyediakan perkhidmatan secara berasingan kepada pesakit tertentu seperti kes HIV dan Hepatitis B menyebabkan kelulusan lebih terperinci dan memakan masa sebelum dibenar beroperasi.

"Operasi pusat ini adalah kerjasama antara Pusat Rehabilitasi dan Kementerian Kesihatan dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kesihatan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Jom Kembali Ke Sekolah DUN Seberang Takir Kuala Nerus, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, karnival  yang dianjurkan Pejabat DUN Seberang Takir bersama Pemuda dan Puteri UMNO DUN itu disertai lebih 3,000 masyarakat sekitar dari golongan B40.

 "Puteri dan Pemuda UMNO bersama Ketua-ketua UMNO cawangan turut membantu mengagihkan pelbagai kelengkapan persekolahan seperti pakaian, beg, buku, kasut, gunting rambut dan sampul buku secara percuma kepada penduduk khususnya pelajar,"katanya.

Tambahnya, segala peralatan bukan sahaja bantuan yang disediakan kerajaan negeri, malah sumbangan pelbagai badan korporat seperti Plus Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Tabung Haji bagi meringankan beban penduduk dan memastikan sesi persekolahan berjalan lancar.


Katanya, seramai 33 tukang gunting kebanyakannya dari  kalangan generasi Y turut turun padang menggunting rambut 700 pelajar lelaki yang bakal memasuki persekolahan Isnin ini.

Tag: