Qabil Muncul Juara Keseluruhan Junior SIC Ohvale

SEPANG, 6 Disember - Pelumba cilik Terengganu, Qabil Irfan Azlan sekali lagi membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila muncul juara keseluruhan bagi kelas 110cc Kejuaraan Junior SIC Ohvale 2021.

Kejayaan tersebut adalah dua kali berturut-turut setelah turut muncul juara SIC MiniGP tahun lepas, sebelum kejuaraan itu dijenamakan semula kepada Kejuaraan Junior SIC Ohvale.

Qabil bersama bapanya, Azlan Abd Rahman.

Pada pusingan kemuncak minggu ini, pelumba berusia sembilan tahun itu menguasai keempat-empat perlumbaan dan seterusnya menutup tirai kempen 2021 dengan 284 mata.

Berada di tempat kedua adalah rakan senegerinya, Adam Danial yang menamatkan kempen dengan 219 mata manakala Shah Putra melengkapkan podium di tempat ketiga, 167 mata.

Mengulas mengenai dua perlumbaan hari ini termasuk yang terakhir berlangsung dalam keadaan litar basah, Qabil berkata, saingan sedikit sukar berbanding biasa.

"Sedikit susah hari ini disebabkan hujan namun sebelum ini saya banyak melakukan latihan dalam keadaan hujan.

"Selain itu, tahun ini lebih susah berbanding tahun lalu kerana kali ini, pesaing ramai yang lebih laju," katanya seperti dilaporkan Berita Harian Online, semalam.

Qabil (nombor satu) dilihat pantas mendahului saingan

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook turut mengucapkan tahniah buat pelumba cilik kebangaan negeri itu.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat buat pelumba-pelumba cilik Terengganu yang lain,” katanya.

Untuk rekod, Qabil daripada 12 perlumbaan musim 2021, Qabil meraih 11 kemenangan dan hanya sekali berada di tempat ketujuh pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 di Litar Kart Antarabangsa Sepang, sebelum ini.