'Raja Buah' Terengganu Luruh Ogos

Foto ihsan - Google
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Jabatan Pertanian Negeri memaklumkan musim durian Terengganu dijangka mencapai kemuncak hasil bermula Ogos ini.

Ketua Bahagian Penerangan dan Penilaian Jabatan Pertanian Negeri, Hamidah Abdul Hamid berkata, berdasarkan jangkaan tahun ini, daerah Besut, Kemaman dan Hulu Terengganu bakal memperoleh hasil lebih tinggi dengan pengeluaran anggaran hasil keseluruhan hampir 5,000 tan metrik (Mt).

“Tahun ini, dianggarkan pengeluaran raja buah di seluruh negeri adalah sekitar 7,163.8 Mt dengan luas berhasil yang direkodkan seluas 1,336.1 Hektar (Ha).

“Setakat ini, beberapa kawasan sekitar daerah Kuala Nerus dan Besut sudah mula mengeluarkan hasil, tetapi masih belum banyak,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Hamidah turut menjelaskan, kemasukan durian-durian luar terutama daripada Johor tidak akan menyebabkan lambakan raja buah itu di pasaran.

“Kita jangkakan tidak akan berlaku lambakan durian kerana hasil anggaran yang bakal diperolehi tahun ini berkurang 15 peratus berbanding tahun 2018.

“Tahun lalu, tidak berlaku lambakan walaupun sebanyak 8,582.8 Mt hasil dipasarkan dengan purata jualan RM4.00 sehingga RM10.00 sekilogram,” katanya.


Tag: