Seramai 200 peserta terdiri daripada kakitangan Majlis Daerah Setiu (MDS) dan penduduk Taman Sri Intan, Sungai Tong, Setiu mengadakan gotong royong menanam pokok di kawasan taman itu, hari ini.
Program yang pertama kali diadakan itu mendapat peruntukan daripada Jabatan Landskap Negara berjumlah RM7,000 untuk membeli anak pokok dan penyelenggaraan.
Yang Dipertua MDS, Mat Azmi Arshad berkata, aktiviti itu bukan sahaja bagi mengindahkan kawasan dan memperolehi hasil pada masa depan, ia juga secara tidak langsung mengeratkan hubungan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan masyarakat setempat.
"Kerja landskap ini jika tidak mendapat kerjasama yang baik dengan penduduk dan ianya tidak akan berjaya kerana ianya memerlukan penjagaan untuk mengelak berlaku perkara tidak diingini seperti kecurian dan sebagainya.
"Ada jenis pokok yang ditanam menjadi rebutan kerana harganya yang mahal, selain dipantau pekerja majlis di kawasan ini, penduduk juga perlu bersama menjaganya," katanya.
Mat Azmi berkata, antara pokok yang ditanam adalah Kelapa Pandan, Merawan Siput, Tikoma, Manggis, Cengal, Merawan dan pokok Gaharu.
"Sebanyak 35 pokok ditanam pada hari ini dan kita berharap pokok-pokok dijaga dengan sempurna dan dapat membesar dengan baik untuk generasi akan datang," katanya.
Selain gotong-royong menanam pokok, orang ramai turut membersih surau dan kawasan sekitar tempat penanaman pokok itu.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Daerah Setiu, Mohd Nasir Kasim dan Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri Langkap, Zulkarnain Arifin.