• 16 Sept 2024 | 12 Rabiul Awal 1446

Rakyat Bermunajat Agar Derita Angkara Politik Terhenti

KUALA TERENGGANU, 7 September - Munajat Terengganu Sejahtera sempena Karnival Indahnya Hidup Bersyariat semalam menjadi medan pengharapan rakyat Terengganu agar derita dinafikan hak royalti angkara politik dendam akan terhenti.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata episod dinafikan hak itu merupakan perkara pahit untuk ditelan kerana Terengganu berhadapan kesukaran untuk meneruskan segala bantuan serta kebajikan untuk kesenangan rakyat.

"Pada malam ini di kemuncaknya kita telah berkumpul dan bermunajat bersama-sama dalam menzahirkan kebersamaan rakyat Terengganu bagi mendoakan kesejahteraan agar negeri 'baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur' melalui solat hajat yang ditunaikan tadi.

"Kita juga telah memohon pertolongan daripada Allah agar hak rakyat (royalti) dikembalikan, hakikat yang pahit untuk ditelan kami sebagai kepimpinan kerajaan negeri kerana berhadapan dengan kekangan dan tekanan.

"Sehingga segala kebajikan rakyat yang telah kita agihkan sebelum ini tidak dapat diberikan lagi kerana amalan politik dendam yang terus menerus diamalkan oelh pihak tidak bermoral," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Munajat Terengganu Sejahtera yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut katanya, himpunan pada malam itu merupakan sesuatu yang sangat bermakna dalam memastikan setiap usaha yang ingin dilakukan kerajaan bagi memperkasakan syariat tidak terhalang.

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Terengganu yang datang, kita sama-sama memohon kepada Allah mudah-mudahan Allah memberi negeri Terengganu yang kita cintai ini," ujarnya.