• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Rakyat Gembira Bersemuka Dengan MB


Prihatin dengan masalah rakyat, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan setiap isu melingkari masyarakat dengan mengadakan hari bersama rakyat di kediamannya (Seberang Takir) pada setiap Khamis.

Dalam kesibukan jadual kerja sebagai pemimpin utama negeri, Ahmad Razif tetap mendengar dan meneliti satu persatu masalah serta permohonan yang dikemukakan orang ramai tanpa protokol dan batasan.

Orang ramai yang tiba di perkarangan rumah beliau dihidangkan dengan makanan sambil menunggu giliran untuk bersemuka serta mengemukakan aduan secara terus kepada beliau.

Rata-rata memuji pendekatan yang dilihat memudahkan masyarakat untuk menyelesaikan pelbagai masalah termasuk hal-hal kebajikan, tanah, rumah, masalah berulang dan lain-lain dibantu dengan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

Seorang pesara tentera, Ahmad Abdul Wahab Yahya,59, dari Kampung Teluk Ketapang berkata, inisiatif yang diperkenalkan menteri besar itu bukan sahaja dapat memudahkan penduduk untuk berjumpa secara bersemuka dengan pemimpin berjiwa rakyat itu, malah menjadi saluran tepat dalam mempercepatkan masalah dan urusan rakyat untuk diselesaikan.

“Sebagai contoh, pak cik datang hari ini mewakili rakan-rakan tentera yang berkhidmat di luar dan ingin pulang ke Terengganu. Masalah ini telah dikemukakan kepada menteri besar dan Insya-Allah, katanya akan diambil tindakan lanjut oleh pegawai berkaitan,” ujarnya kepada Teganukita.

Bagi warga emas, Esah Sulaiman,73, dari Kampung Banggol Air Lilih, Manir terharu dengan cara layanan menteri besar yang mengalu-alukan kedatangan rakyat ke rumahnya.

“Orang biasa (menteri besar) dengan rakyat ini tidak segan untuk jumpa terus dengan rakyat seperti kami. Mak cik rasa selesa sangat dapat bercakap dan memberitahu masalah yang dihadapi kepada Cikgu Razif,” ujarnya yang ingin meminta pertolongan berkaitan bil elektrik rumahnya yang tertunggak.

Sementara itu, Saidah Jusoh, 50, yang menghadapi masalah rumah membuat keputusan berjumpa dengan menteri besar untuk membuat permohonan pembaikian rumahnya yang semakin uzur.

“Saya harap pertemuan ini akan diadakan secara berterus bagi memudahkan penduduk melontarkan apa sahaja masalah yang dihadapi. Saya sokong sepenuhnya cara yang menteri besar buat ini,” ujarnya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Telaga Daing.





Tag: