SETIU, 10 Januari- Rakyat di negara ini gusar dengan sikap Kerajaan Madani yang sengaja tidak memaparkan masjid di dalam video montaj 'Visit Malaysia 2026' sekali gus mendedahkan identiti sebenar mereka selama ini tidak menjaga sensitiviti umat Islam dalam negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada pandangannya parti yang memerintah negara pada hari ini bersikap kononnya mahu meraikan semua agama dan anutan sebaliknya terpesong jauh daripada prinsip Islam.
"Ia adalah satu dasar yang jauh daripada prinsip Islam, sehingga dalam perkara asas, Masjid yang menjadi salah satu syiar Islam tidak ditunjukkan.
"Dia (Kerajaan Madani) tidak menjaga sensitiviti umat Islam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj (BPIM), di Masjid Kg. Putera Jaya, di sini, semalam.
Tambah Muhammad Khalil, sewajarnya masjid menjadi sebahagian daripada video montaj itu kerana mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
"Salah satunya mereka datang untuk melihat seni bina Masjid dan juga konsep pengurusan institusi itu sendiri kerana memiliki keunikanya yang tersendiri berbanding negara-negara lain," ujarnya.