Rakyat Kuala Besut Inginkan Perubahan

BESUT, 2 Ogos - Rata-rata rakyat di Kuala Besut ingin melakukan perubahan terhadap wakil rakyat yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) 12 Ogos nanti.

Mohd Hazimazudin Che Haziz, 33, berkata, dia mahu memilih wakil rakyat baharu yang datang daripada parti lain selepas beberapa penggal ia hanya dikuasai satu parti.

“Saya akan memilih wakil rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap persoalan hidup rakyat, bukan hanya muncul ketika hampir denga musim pilihan raya. 

“Ramai penduduk di sini mengeluh apabila wakil rakyat sebelum ini gagal membawa suara rakyat dengan baik menyebabkan permasalahan penduduk gagal diselesaikan,” kata pemandu bot pelancong itu ketika ditemui di Pulau Perhentian di sini semalam.

 

Sementara itu, bagi peniaga kedai runcit, Nik Suria Nik Mat, 52 berkata dia sudah tidak sabar untuk keluar mengundi pada 12 Ogos nanti bagi menunjukan rasa tidak puas hati dengan situasi semasa.

“Keadaan ekonomi terutamanya melibatkan masalah kos sara hidup sangat teruk meskipun ketika ini tiada krisis seperti COVID-19 sebelum ini.

“Saya mempunyai ramai kenalan yang berniaga, keadaan mereka sangat sukar, kuasa beli sudah merudum dalam kalangan rakyat hingga memaksa peniaga tertekan untuk mencari untung, jadi pilihan raya nanti ada sebagai penunjuk rasa tidak puas hati saya,” jelasnya.

Bagi Rohani Yaacob yang juga peniaga, 34, katanya sudah lama DUN tersebut diwakili oleh parti yang sama, kini dia dan rakan-rakan membuat keputusan untuk mengundi parti berbeza kali ini.
 

Suasana di Pulau Perhentian menjelang PRUN15

"Angin perubahan di Kuala Besut makin terasa. Kita yakin penduduk sudah sedar bahawa, calon daripada parti lain lebih mesra penduduk, tambahan pula dia seorang pemurah, ramah dan mudah membantu jika kita meminta pertolongan.

“Namun saya harap, jika dia dipilih menjadi wakil rakyat nanti, dia kekal dengan peribadinya intu, kita tidak mahu perkara sebaliknya berlaku, yang penting dia dapat membela rakyat Kuala Besut supaya kami hidup dengan keadaan selesa dan terbaik,” jelasnya. 

Haji Azbi Salleh menyantuni rakyat Pulau Perhentian

DUN N.01 Kuala Besut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara   Azbi Salleh (PAS) dan Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman (BN).

Pada PRU14 lalu, Tengku Zaihan menang dengan majoriti kecil iaitu sebanyak 143 undi, manakala jika mengikut rekod undian PRU15 (Parlimen) calon PAS menang di DUN terbabit.


Tag: