KUALA TERENGGANU, 30 Oktober – Majlis Menteri Besar SG4 yang dianggotai oleh negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan bahawa sumber mineral nadir bumi (REE) adalah hak mutlak kerajaan negeri, sebagaimana termaktub di bawah Jadual Kesembilan (9), Perlembagaan Persekutuan.
SG4 juga menuntut agar setiap kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan mesti berteraskan keadilan, ketelusan dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta generasi akan datang.
Menurut Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4 merangkap Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, empat negeri berkenaan kini bersatu mempertahankan hak negeri ke atas hasil bumi mereka.
"Segala sumber mineral nadir bumi yang berada dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri.
"SG4 yang mewakili lebih 70 peratus sumber REE terbesar negara komited memastikan hasil kekayaan bumi ini diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan, setiap negeri di bawah SG4 sedang membangunkan pelan strategik pengurusan REE yang komprehensif dan selaras antara satu sama lain.
"Pelan ini meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan.
"Polisi semasa juga menetapkan agar mineral kritikal ini kekal di dalam negeri dengan memberi keutamaan kepada penyertaan industri tempatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri," tambahnya.
Dalam masa sama, SG4 turut menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem penuh industri REE dari huluan hingga hiliran.
"Kami memahami keperluan untuk mewujudkan rantaian nilai menyeluruh daripada penerokaan hingga penghasilan produk berasaskan nadir bumi bernilai tinggi.
"Namun, sebarang perancangan nasional tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri-negeri sumber," tegas beliau.
SG4 turut menuntut agar kesilapan lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak diulangi dalam konteks industri nadir bumi.
"SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.
"Namun, pengurusan dan pembahagian hasil mesti berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang," jelasnya.
Beliau turut menggesa agar model baharu pembahagian hasil diwujudkan supaya limpahan ekonomi dapat dinikmati rakyat setempat.
"Pembangunan industri nadir bumi harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber agar manfaatnya sampai terus kepada rakyat.
"Hasil negeri tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi secara nyata," katanya lagi.
SG4 juga menyeru agar setiap pelan pembangunan dan rundingan antarabangsa berkaitan REE menghormati hak negeri serta melibatkan wakil negeri dalam peringkat perancangan dan pelaksanaan.
"Wakil negeri sumber mesti diberi tempat dalam setiap peringkat pelan pembangunan nasional.
"Ini penting supaya pengurusan REE mencerminkan semangat keadilan dan manfaat bersama untuk seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.
Kenyataan bersama itu turut ditandatangani oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Pahlawan Mohd Nassuruddin Daud, dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.