Remaja Terharu Terima Dana Putera

DUNGUN, 21 Jun- Simpati dengan kesusahan ibunya yang membanting tulang seorang diri menyara hidup mereka sekeluarga, seorang remaja cuba meringankan beban dengan menjadi pembantu gerai minuman selepas waktu sekolah. 

Mengimbas kembali, remaja berkenaan Muhammad Ariff Hakimi Shahrizan, 20, berkata, ketika itu dia di tingkatan empat dan dari situlah dia belajar selok belok berniaga. 

"Tapak tu asalnya tauke saya dulu tapi setelah dia berpindah ke Kuala Terengganu, saya berbincang dengan ummi saya, Faizal Azlina A. Rahman, 42,  untuk berniaga sendiri," kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang merupakan salah seorang penerima Dana Putera ketika ditemui di rumahnya di Gong Pasir di sini. 

Muhmaad Ariff yang terharu dengan sumbangan peralatan berniaga, Dana Putera yang diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menganggap ianya sebagai pendorong untuknya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan menggembirakan ibunya. 

Sementara itu, Alias menjelaskan, Dana Putera yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membuka peluang kepada rakyat untuk membaiki taraf kehidupan. 

"Kerajaan Terengganu telah memberi joran kepada rakyatnya, tidak memberi ikan agar mereka mampu berdikari.

"Tetapi apapun usaha kita, solat jangan tinggal, walaupun sibuk atau penat macamana sekalipun, solat lima waktu wajib ditunaikan, 

" Yang memberikan rezeki itu Allah S.W.T, jika kita tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tuan punya rezeki, ianya tidak akan membawa apa-apa makna kepada kita" ujarnya. 


Tag: