Berita :
Resolusi Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Pacu Agenda Ekonomi Wakaf dan Bahasa Melayu
Resolusi Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Pacu Agenda Ekonomi Wakaf dan Bahasa Melayu
Rohayati Ripin
7 jam yang lepas
77

BESUT, 10 April – Himpunan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu yang berlangsung minggu lalu mencetuskan beberapa resolusi penting, khususnya dalam memperkukuh ekonomi ummah, memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa identiti Alam Melayu di peringkat serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program selama tiga hari itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat, sekali gus membuktikan isu yang dibawa mudah difahami dan dekat dengan rakyat.

Menurutnya, hasil perbincangan meja bulat (RTD) yang dibahagikan kepada empat kluster utama telah menghasilkan cadangan konkrit dan pelan tindakan untuk memperkasakan Alam Melayu berteraskan Islam.

“Antara fokus utama ialah kekuatan ekonomi ummah melalui cadangan penubuhan bank wakaf dan pasaraya wakaf yang menawarkan produk halal daripada pengusaha Melayu Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam satu program Majlis Hari Raya Aidilfitri di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, semalam.

Mohd Nurkhuzaini yang terlibat dalam RTD berkaitan ekonomi berkata, usaha itu bagaimanapun memerlukan penelitian rapi berikutan kekangan peraturan, khususnya melibatkan kelulusan pihak berkuasa kewangan.

“Penubuhan bank bukan sesuatu yang mudah, namun kita akan mulakan dari segi keperluan dan perancangan supaya apabila tiba masa sesuai, ia boleh direalisasikan,” jelasnya.

Selain ekonomi, antara resolusi lain termasuk usaha memperkasakan tulisan Jawi yang dilihat semakin terpinggir, di samping mengangkat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa serantau dalam kalangan negara terlibat.

Cadangan pemakaian batik dalam urusan rasmi turut diketengahkan sebagai langkah mempromosi identiti budaya selain menyokong kelestarian melalui pengurangan penggunaan penghawa dingin.

Mengulas langkah susulan, beliau berkata gerakan pelaksanaan akan dimulakan di Terengganu sebelum diperluaskan ke negeri-negeri SG4 dan seterusnya ke peringkat ASEAN termasuk Brunei, Indonesia dan Thailand.

“Kita sasarkan dalam tempoh dua tahun, sekurang-kurangnya ada perkembangan jelas atau pelaksanaan awal terhadap resolusi yang dicadangkan,” ujarnya.

Tambah Mohd Nurkhuzaini, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan setiap resolusi RTD agar tidak sekadar menjadi cadangan tanpa tindakan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan perpaduan ummah amat bergantung kepada sikap kepimpinan yang berjiwa besar dan bersedia bertolak ansur.

“Tanpa kesediaan pemimpin untuk berlapang dada dan mengurangkan ego, usaha penyatuan ini akan berdepan cabaran besar,” tambahnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan