Restu Ibu, Disiplin Diri Jadi Tonggak Kejayaan

Dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Mohammad Asyraf Adhwa Masimen(kanan) dan Foo Tzen Yoong, 

KUALA NERUS, 11 November - Disiplin membahagikan masa serta memohon restu ibu dan keluarga adalah kunci utama kejayaan seorang penerima Anugerah Pelajaran DiRaja, Mohammad Asyraf Adhwa Masimen, 22, pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu(UMT) kali ke-16, di sini.

Anak sulung dari dua beradik yang berasal dari Gemencih, Negeri Sembilan, Mohammad Asyraf berkata, restu seorang ibu menjadi kunci utama kejayaannya selain berpegang kepada prinsip hidup tidak sekali lupa kepada Allah SWT  dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Mohammad Asyraf Adhwa Masimen

“Selain itu, amalan yang wajib apabila ke kuliah, saya akan tulis kembali apa yang pensyarah sampaikan pada hari berkenaan untuk rujukan tambahan.

“InsyaAllah selepas kejayaan hari ini, saya akan teruskan untuk menyambung pelajaran saya dalam bidang sarjana pada bulan Februari tahun hadapan untuk mencapai cita-cita saya sebagai ahli saintis yang berjaya dan kembali mendidik anak-anak muda di negara ini,”ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-16, di Dewan Sultan Mizan, hari ini.

Foo Tzen Yoong, 

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, penuntut Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam), Foo Tzen Yoong, 23 yang berasal dari Sri Petaling, Kuala Lumpur yang juga memperolehi Anugerah Sijil Kepujian Dekan selama enam semester berturut-turut.

Anak ketiga dari empat beradik ini tidak meletakkan syarat untuk menjadi cemerlang melalui akademik sahaja tetapi perlu aktif dalam persatuan, sukan dan sebagainya

“Akademik perlu cemerlang dan saya lakukannya dengan hadir kuliah setiap masa, buat ulangkaji dan perbincangan bersama kawan malah saya juga aktif dalam maraton dan pernah mewakili UMT ke peringkat antarabangsa.

“Lepas ni saya nak sambung belajar ke peringkat Doktor Falsafah dan kembali sebagai pensyarah di UMT untuk berbakti kepada penuntut-penuntut di sini,”ujarnya lagi.

Beliau mewakili Pusat Pengajian Pembangunan Sosial Dan Ekonomi (PPPSE) dalam pertandingan Trisakti Economics & Business Fair and Competition di Jakarta, Indonesia pada 2017 dan menyertai Program Mini Conference On Social Science (Global Discovery Programme UBD-UMT) di Universiti Brunei Darus Salam pada Disember 2017.

Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada siswa yang menunjukan kecemerlangan pada bidang akademik, kegiatan kokurikulum serta mempunyai ciri-ciri kempimpinan dan sifat- sifat keperibadian yang tinggi malah sedia menyumbang bakti kepada masyarakat.

Seramai 2,970 graduan diraikan pada istiadat konvokesyen kali ini yang berlangsung hari ini hingga Selasa ini.

Tag: