Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
Rezeki Si Tangan Emas
Melihat kekurangan Mohd Alamin Jais , 44, yang tidak mempunyai anggota yang sempurna, pasti ramai tidak menjangkakan dia mampu menjadi tukang jahit yang mengkhusus kepada jahitan jeans di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sejak 13 tahun lalu.
Alamin dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) tidak pernah mengeluh dengan kekurangannya, malah beranggapan kecacatan pada kedua bahagian tangannya sebagai anugerah dan `tangan emasnya ’ itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencari rezeki yang halal.
Pemuda cekal yang pernah mengikuti kursus kemahiran dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memperoleh sijil jahitan, berkecimpung dalam bidang itu sejak 20 tahun lalu.
Katanya, minat mendalam terhadap bidang jahitan membuatkannya nekad membuka kedai jahit khusus untuk mengubahsuai seluar dan terus mendapat sambutan terutama pada musim perayaan.
“Kekurangan saya bukan halangan untuk terus mencari rezeki yang halal kerana jika ada kemahuan maka di situ ada jalannya,”katanya lagi.
Mohd Alamin yang berasal dari Kampung Belukar Sukai, Kepong Kuala Terengganu berkata, displin diri merupakan antara senjata utama untuknya terus kekal dalam bidang ini.
Katanya, dia bersyukur kerana setakat ini hasil kerjanya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada pelanggan, malah seringkali menerima tempahan daripada pelanggan yang sama.