KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal mengangkat Terengganu sebagai pusat melahirkan bakat bertaraf dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, berkata kehebatan anak-anak negeri ini dalam bidang akademik, sukan, dan kemahiran lain menjadi bukti kukuh bahawa Terengganu mampu menjadi pencetus perubahan nasional.
"Lihat sahaja kejayaan Azizulhasni Awang, anak jati Dungun yang kini dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’.
"Kejayaannya mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia membuktikan potensi bakat Terengganu yang tiada tandingan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Beliau menambah, ikon seperti Azizulhasni bukan sahaja mencipta sejarah dalam sukan berbasikal tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda.
"Ini contoh jelas bagaimana bakat dari negeri ini boleh bersinar di pentas antarabangsa.
"RMK13 akan memperkukuh usaha untuk membangunkan lebih ramai ‘Azizulhasni’ dalam pelbagai bidang," katanya dengan penuh harapan.
Selain itu, Nor Azmie turut memuji prestasi pelajar Terengganu dalam akademik.
"Kejayaan anak-anak Terengganu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh dinafikan.
"Negeri ini konsisten melahirkan pelajar cemerlang, dan RMK13 akan terus menumpukan kepada pendidikan untuk memastikan bakat generasi muda terus digilap," katanya.
Menurut beliau, RMK13 juga akan memberi penekanan kepada pendidikan berasaskan teknologi dan ekonomi digital.
"Kita mahu memastikan bakat tempatan bukan sahaja berjaya dalam bidang tradisional, tetapi juga mendominasi sektor teknologi, inovasi, dan keusahawanan.
"Ini adalah masa untuk Terengganu mengukir nama sebagai negeri yang melahirkan tenaga pakar bertaraf dunia.
"Dengan tumpuan kepada pembangunan bakat, pendidikan, dan sokongan teknologi, RMK13 dijangka menjadi pelan transformasi besar untuk menjadikan Terengganu sebagai pusat kecemerlangan bakat Malaysia," ujarnya.