KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Terengganu kini melangkah ke hadapan dengan perancangan strategik menjadikan negeri ini sebagai hab utama industri Carbon Capture, Utilization, and Storage (CCUS).
Langkah ini dilihat sebagai persediaan awal menghadapi masa depan ekonomi apabila pergantungan kepada minyak dan gas semakin menyusut.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, industri CCUS adalah peluang besar yang mesti direbut untuk memastikan kelangsungan ekonomi negeri.
"Teknologi penyimpanan karbon ini penting, terutamanya apabila kita tahu sebahagian besar industri di Malaysia menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi," katanya dalam sesi libat urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Nor Azmie menjelaskan, CCUS adalah industri masa depan yang tidak hanya mengawal pelepasan karbon, tetapi juga menjadi tarikan kepada pelabur luar.
"Kita tahu 25% hingga 35% pelepasan karbon di negara ini datang daripada industri besar seperti gas, besi, keluli, dan simen.
"Dengan adanya kemudahan penyimpanan karbon di Terengganu, ia akan mendorong industri-industri ini berpindah ke pantai timur," katanya.
Tambah beliau, Terengganu mempunyai kelebihan dari segi infrastruktur sedia ada di Kertih dan kawasan sekitar yang sesuai untuk pelaksanaan CCUS.
"Kita ada medan minyak yang telah habis digunakan (depleted oil fields) yang boleh diubah menjadi kemudahan penyimpanan karbon.
"Peluang ini tidak wajar dilepaskan," katanya lagi.
Menurut Nor Azmie, walaupun margin keuntungan industri CCUS dilihat kecil, beliau optimis impaknya terhadap ekonomi negeri akan lebih besar pada jangka panjang.
"Ia adalah langkah strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan industri baharu ke negeri ini," tegasnya.
Selain CCUS, Nor Azmie turut mengulas cabaran yang bakal dihadapi Terengganu apabila sumber minyak dan gas semakin berkurangan.
"Hari ini, kita tahu ekonomi Terengganu sangat bergantung kepada industri minyak dan gas, khususnya di Kertih dan Kemaman.
"Namun, sumber ini tidak kekal. Ia akan habis satu hari nanti," kata beliau.
Beliau menyatakan bahawa rancangan awal perlu dibuat untuk mengimbangi semula ekonomi negeri.
"Soalannya, apa yang akan berlaku kepada ekonomi negeri apabila sumber ini habis?.
"Kita perlu bersedia daripada sekarang," katanya lagi.
Dengan pelaksanaan industri CCUS, Nor Azmie percaya ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri baharu di Terengganu.
"Pantai timur mempunyai potensi besar untuk menjadi hab industri.
"Secara beransur-ansur, industri besar yang kini berada di pantai barat akan berpindah ke pantai timur kerana kos penyimpanan karbon lebih rendah di sini.
"Inilah masanya kita bergerak ke hadapan, dengan aset seperti Kertih dan Gebeng, kita mampu menjadi magnet pelaburan dan membuka lembaran baharu untuk ekonomi Terengganu,” ujarnya.