Road To MAHA 2018 Banyak Kejutan - Azman Ibrahim


KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu menyeru seluruh rakyat Terengganu dan negeri-negeri berjiran untuk berkunjung ke program Road To MAHA bertempat di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Manir, Kuala Terengganu pada 25 hingga 27 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program ini berkonsepkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan buat julung kalinya di negeri Darul Iman.

"Terdapat banyak pengisian menarik yang menanti kehadiran para pengunjung  ke program ini.

"Ianya melibatkan sektor utama peladang, penternak dan nelayan serta pelbagai agensi dan jabatan di bawah Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.

"Antara pengisian Road To MAHA yang dijangka mampu menjadi 'wow factor' ialah pameran penyu comel, lembu sado, pameran kambing, pameran ikan hiasan, ayam serama, ayam ratu dan sebagainya.

"Kami menjangkakan pameran tersebut mampu menggamit para pengunjung berkunjung ke tapak program," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini (19 Oktober), mengulas tentang program Road To MAHA bertempat di Mardi Manir, Kuala Terengganu pada 25 hingga 27 Oktober ini.

Dalam perkembangan yang sama, menurut Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, gerai-gerai jualan pelbagai produk pertanian, penternakan dan perikanan juga akan diadakan.

"Agensi serta jabatan kerajaan yang terlibat antaranya ialah Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perikanan, Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mardi, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Ketara, Lembaga Pertubuhan Peladang, Agro Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Di samping itu, agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA, Felda, Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) Sdn Bhd, Jabatan Perhutanan, Perhilitan, Jabatan Pelancongan, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia juga akan turut sama memeriahkan program.

"Panitia Road To MAHA turut juga mengundang beberapa syarikat swasta untuk mereka memperkenalkan teknologi dan jentera baru dalam bidang pertanian samada dari segi teknologi jentera, benih, fertigasi dan produk-produk baru pertanian.

"Terdapat juga jualan pelbagai produk yang dihasilkan usahawan di bawah bimbingan jabatan dan agensi terlibat.

"Justeru, saya mewakili Jawatankuasa Induk Road To Maha mengajak semua rakyat untuk meluangkan masa dalam tempoh 3 hari bermula 25 hingga 27 Oktober ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam untuk sama-sama hadir berkunjung ke Mardi Kuala Terengganu bagi sama-sama memeriahkan dan mengambil manfaat daripada program yang diadakan," tambahnya.

Program Road To MAHA akan mengisi Kalendar Pertanian Negeri Terengganu bagi setiap 2 tahun sekali.

Tag: