'Roadblock Sahur' DUN Manir


Oleh: Muhammad Najib Ismail

HULU TERENGGANU, 29 Mei - Sempena pecutan 10 akhir  Ramadan, Dewan Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Manir menganjurkan program 'Roadblock Sahur', malam tadi.

Penyelia i-MiTS Hulu Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, program itu bagi menyantuni rakyat khususnya anak muda dan pekerja yang masih menjalankan tugas pada waktu malam sekitar DUN Manir.

"Sebelum ini kita sudah membuat acara seperti ini yang dinamakan `Terjah Sahur' yang mensasarkan golongan tertentu yang bertugas pada lewat malam, akan tetapi program kali ini ada kelainan dengan kita menahan pengguna jalan raya untuk memberikan juadah sahur," katanya.

Hadir sama, Ketua Pemuda PAS DUN Manir, Muhammad Hamdi Harun, Timbalan Ketua Pemuda DUN Manir, Mohd Saifuddin Mohd Azmi dan Naib Ketua Pemuda PAS DUN Manir, Mohd Suhaimi Abdul Wahab.



Agihan dibuat di hadapan Kolej Universiti Darul Quran Islamiah, Manir yang disertai hampir 20 orang petugas dan bermula jam 2 hingga jam 3 pagi.

Sebanyak 200 bungkus nasi goreng beserta telur mata dan air mineral diagihkan kepada orang ramai yang kebanyakannya golongan muda.


Harun yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu berkata, program itu juga diadakan bagi mengingatkan golongan muda yang selalu keluar lewat malam agar tidak lupa untuk bersahur kerana Nabi bersabda, "Bersahurlah, kerana pada sahur itu ada berkat".

Beliau juga mengingatkan penduduk yang ditemui supaya jangan ketinggalan untuk menambah amal ibadat sempena akhir Ramadan ini agar memperolehi kelebihan Lailatul Qadar kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah amatlah besar.

Tag: