Rumah Baharu Ubati Kesedihan Mangsa Kebakaran Di Kampung Undang
Kesedihan sembilan sekeluarga yang kehilangan tempat tinggal setelah kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Undang, Marang kira-kira pukul 3 pagi tadi sedikit terubat apabila mendapat perhatian pemimpin setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi kerajaan Negeri, A. Latiff Awang melawat tempat kejadian dan membawa khabar gembira kepada mangsa apabila bersetuju membina mereka rumah baharu, menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Kita bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa dan akan memastikan mereka segera mendapat perlindungan. Kita bersetuju membina rumah PPRT bernilai RM40,000 di tapak yang sama,"katanya.
Sementara itu, mangsa kebakaran, Ibrahim Fikri Mat Nor,60, yang turut mendapat bantuan peribadi daripada A.Latiff dan Mohd Nor bersyukur menerima bantuan tersebut.
Ibrahim berkata, keprihatinan pemimpin setempat dengan nasib yang dialami mereka sangat mengharukan.
Katanya, kejadian berlaku dengan pantas menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang dan hanya mampu menyelamatkan diri sahaja.
"Terima kasih kerana sudi melawat dan memberi bantuan yang begitu cepat dan sedikit mengurangkan rasa sedih kami atas apa yang berlaku ini.
"Kami menerima kejadian ini dengan tabah dan redha,"katanya.