KUALA TERENGGANU, 12 November - Nasib lima keluarga daif di Hulu Besut yang tinggal berhimpit dalam sebuah rumah uzur bakal berubah apabila Kerajaan Negeri Terengganu telah meluluskan pembinaan kediaman baharu bagi mereka yang dijangka siap sebelum tahun 2026.
Perkara itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dalam ucapannya ketika sesi penggulungan Enakmen Bekalan 2026 di Wisma Darul Iman, sebentar tadi.
Beliau berkata perkara itu diselesaikan selepas penilaian dibuat oleh Majlis Daerah Besut dan kelulusan diterima daripada Pejabat Kewangan Negeri serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
"Saya sendiri meninjau keadaan rumah itu ketika menghadiri satu program di Hulu Besut dan mendapati lima keluarga melibatkan lebih 17 orang tinggal di sebuah rumah yang terlalu kecil dan uzur.
"Saya minta pihak majlis daerah buat penilaian kos, dan alhamdulillah, permohonan telah diluluskan. Insya-Allah sebelum masuk 2026 rumah itu akan siap dan boleh diduduki oleh keluarga berkenaan," katanya kepada ahli dewan, di sini.
Terdahulu, isu yang dialami oleh 17 individu tersebut telah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin di mana beliau turut mempersoalkan status projek perumahan di Pasir Akar, Besut.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Sukairi turut memaklumkan mengenai status semasa projek perumahan itu, yang kini mencapai kemajuan sebanyak 27 peratus.
Katanya, kerja-kerja pembinaan bangunan dan infrastruktur sedang giat dijalankan, melibatkan 68 unit Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A dan 280 unit jenis B.
"Ketika ini, pihak pemaju sedang menguruskan proses pembiayaan dengan bank bagi pembeli-pembeli yang layak. Bagi melancarkan urusan tersebut, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah Kementerian Kewangan Malaysia," jelasnya.
Menurut beliau, kerjasama itu bertujuan membantu pembeli yang tidak mempunyai dokumen sokongan seperti slip gaji atau pendaftaran perniagaan agar tetap berpeluang memiliki rumah sendiri.
Wan Sukairi menegaskan, komitmen kerajaan negeri dalam sektor perumahan akan terus diperkukuh, bukan sahaja melalui penyediaan Rumah Mampu Milik baharu, tetapi juga melalui bantuan bersasar kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.