Rumah Baharu Untuk Mangsa Kebakaran Kampung Kua



Kerajaan negeri akan meluluskan peruntukan membina rumah baharu bernilai RM40,000 kepada mangsa kebakaran Wok Abdullah, 63, di Kampung Kua, Ajil,Hulu Terengganu dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi ,Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, peruntukan itu akan diluluskan segera memandangkan rumah dan kedai tersebut musnah 100 peratus dalam kebakaran semalam.

"Sebagai langkah drastik, saya mohon pihak Pejabat Daerah Hulu Terengganu melihat keperluan yang perlu untuk pembinaan dan berbincang dengan mangsa bagi pemilihan tapak rumah baharu itu.

"Seterusnya, saya juga akan minta pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu  (Maidam) untuk beri beberapa bantuan yang perlu dalam membantu mangsa memulakan perniagaannya kembali. Ini juga sya akan bincang dengan pihak Maidam nanti,"kata Ghazali.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Kua, Ajil, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.54 malam dan bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota.

Tambahnya lagi, pihaknya turut menerima bantuan jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang serta empat anggota pasukan Bomba sukarela Felda Bukit Bading sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 9.50 malam dalam kejadian yang memusnahkan keseluruhan sebuah rumah dan sebuah kedai.

"Namun punca kejadian serta jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,"katanya.

Tag: