KUALA NERUS, 16 Mac - Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Banggol Pauh menjadi satu lagi projek perumahan (Awam) bawah kerajaan negeri bagi membantu golongan B40 di Terengganu dalam memiliki kediaman sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, RPMM Banggol Pauh dibina sebanyak 162 unit dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri dengan kos RM41 juta.
"Demi membantu golongan B40 di Terengganu, kerajaan negeri telah memperuntukkan subisidi bagi setiap unit rumah sehingga RM65,000, kos sebenar pembangunan bagi setiap unit rumah bagi tahun 2021 adalah sekitar RM145 ribu.
"Harga jualan kepada pemohon adalah RM80,000 seunit, kos ini tidak termasuk kos tanah dan prasarana yang turut disertakan di dalam projek RPMM Banggol Pauh ini seperti surau, taska dan tadika, gerai dan kedai yang akan turut dibangunkan untuk kegunaan bakal penduduk di RPMM Banggol Pauh nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Banggol Pauh yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini.
Tambahnya, pembiayaan perumahan RPMM ini akan dibuat kepada pihak PMINT dengan bayaran balik tanpa faedah, RM 261 sebulan (termasuk yuran pengurusan strata RM 40) selama 30 tahun.
"Orang ramai boleh membuat permohonan setelah kemajuan projek mencapai 80 peratus yang akan diumumkan melalui iklan oleh SUK Bahagian Perumahan," ujarnya.