HULU TERENGGANU,4 Mac - “Sebelum ini saya sibuk dengan tugasan membantu mangsa banjir, namun kali ini rumah saya sendiri ditenggelami air tanpa sempat untuk menyelamatkan harta benda,” kata Sukarelawan Terengganu (T-Volt), Rashidatul Nisa Azhar,24, kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Bador, semalam.
Katanya, selama hidup dia hanya melihat mangsa sayu dan sedih dengan musibah terbabit, tetapi kini dirinya sendiri merasai perasaan itu.
"Apa yang berlaku ini sangat pantas, tidak pernah air naik di dalam rumah begitu tinggi melebihi hampir paras kepala di dalam rumah.
"Kejadian yang berlaku dalam pukul 6.30 pagi, perkara pertama saya fikir ketika kejadian tersebut adalah bagi menyelamatkan 'Tok Yang' (moyang) berumur 100 tahun dan 'Tok Wan' (nenek) berusia 76 tahun yang telah uzur.
"Pada waktu itu hanya saya, abang dan sepupu sahaja berada di rumah, ayah dan emak menyelesaikan urusan di Kuala Terengganu, jadi dalam keadaan cemas dan panik saya cuba meminta bantuan orang kampung," katanya yang turut dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Mengulas lanjut, Rashidatul berkata sepanjang hayatnya tidak pernah berlaku keadaan sedemikian yang dianggap sangat teruk.
"Namun kami sekeluarga pasrah, kerana daripada pengalaman selama ini setiap kali menyertai misi banjir, saya nasihatkan mereka agar bersabar dan tabah, dan pada kali ini apa yang dinasihatkan kepada orang ramai selama ini ternyata berguna kepada saya.
"Dalam masa yang sama, apa yang diuji kepada kami sekeluarga tidak lah seteruk keluarga lain.
"Di kesempatan ini saya juga ucapkan terima kasih kepada EXCO Terengganu serta rakan-rakan sukarelawan lain yang hadir bagi membantu memberikan keringanan buat kami, maaf juga pada kali ini saya tidak turut bersama sebagaimana biasa," ujarnya.
Sementara itu ayahnya, Mohd Azhar Omar berkata, 53, berkata ujian menimpa mereka cukup memberi kesan.
"Namun apa yang berlaku adalah kehendak Allah untuk menghadirkan sesuatu yang lebih baik selepas dilanda musibah berkenaan. Kami sekeluarga insya-Allah mampu menghadapi semua ini," katanya.
Untuk rekod, Rashidatul pernah tercalon untuk menerima Anugerah Tokoh Belia Terengganu kerana aktif sebagai sukarelawan manakala abangnya, Amirul Firdaus Azhar pula pernah tercalon Anugerah Tokoh Belia Negeri Terengganu untuk kepimpinan muda.