Rumah Tok Lambang Kegigihan Wanita Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 28 Disember - Terletak di tengah kedamaian dan keindahan perkampungan nelayan tradisional Kampung Mangkok, Setiu, sebuah rumah kayu usang menyimpan rahsia dan maknanya yang tersendiri.
Dengan pemandangan pantai Laut China Selatan dan Sungai Setiu di sebelah kanan kirinya, Rumah Tok menjadi lambang kegigihan dan kesungguhan wanita pantai timur.
Pengudaraan dan pencahayaan semulajadi adalah ciri utama rumah Melayu lama, dan Rumah Tok mempunyai sekatan yang minimum untuk mewujudkan aliran terbuka, dengan memiliki dua bilik di sebelah kiri sementara satu kawasan tengah sebagai ruang tamu.
Ruang rumah mempunyai perabot minima kerana kebanyakkan aktiviti seperti anyaman dan pembungkusan makanan dijalankan di atas lantai. Dapur kecil yang dibuat rendah menggambarkan susuk tubuh kecil pembinanya terletak di belakang rumah dan tandas dibina di luar.
Rumah Tok tidak hebat seperti istana, terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan seni bina mewah rumah-rumah tradisional bangsawan Melayu lama Terengganu seperti Terrapuri dan Rumah Tele, sebaliknya ia sengaja dikekalkan sedemikian rupa untuk memberikan gambaran sebenar kesederhanaan kehidupan masyarakat Melayu dahulu yang semakin dilupakan.
Menjejakkan kaki ke Rumah Tok, mengingatkan dan membawa kita mengenang nostalgia zaman kanak-kanak sewaktu mengunjungi rumah nenek dan datuk dengan senyuman, kemesraan dan kemeriahan keluarga ketika pulang ke kampung.
Mengimbau sejarah rumah unik tersebut, ianya didirikan sekitar 15 tahun lalu oleh dua sahabat iaitu Wan Lijah dan Zaharah Sulong yang lebih dikenali dengan nama samaran Mok Su dan Mok Wan tanpa bergantung pada sesiapa.
Seteguh kisah persahabatan, perit-getir dan semangat juang mereka membanting sendiri tulang empat kerat dan keringat wanita membina rumah tempat berteduh dengan perancangan untuk mengendalikan perniagaan kecil menjual barangan tempatan dan makanan ringan, menjadikan Rumah Tok unik di perkampungan kecil itu.
Semangat tersebut kemudiannya diwarisi oleh generasi wanita muda sebuah NGO, Setiu Wetlands Ecotourism Discovery (ECOSWED) yang kemudiannya menyewa rumah berkenaan bagi mengadakan aktiviti bersama komuniti selepas Mok Wan kembali ke negeri asalnya di Kelantan dan Mok Su jatuh sakit.
Ditubuhkan secara rasmi pada 2018, ECOSWED mengetengahkan peranan penting bakau dan ekosistem perairan untuk kehidupan masyarakat setempat, serta menekankan pemeliharaan budaya dan makanan tradisional komuniti nelayan di daerah itu.
Kebanyakan wanita yang terlibat dengan organisasi itu adalah suri rumah di mana ECOSWED menjadi pemudah cara dengan menyediakan latihan dan bimbingan kepada mereka untuk menjana pendapatan sampingan.
Berperanan sebagai pusat sehenti ECOSWED dengan penduduk tempatan dan pelancong berkongsi maklumat tentang tanah lembap dan hubungan antara makanan serta alam sekitar, Rumah Tok sering dijadikan lokasi berkumpul untuk membuat barangan seperti bakul dan tikar di samping demostrasi memasak seperti satar, dan masakan berasaskan ubi kayu dan pisang serta pelbagai lagi.
Memandangkan mendapat permintaan ramai untuk menginap di rumah berkenaan, ECOSWED telah melakukan sedikit pengubahsuaian untuk menjadikan Rumah Tok sebagai ‘homestay’ bermula awal tahun lalu.
Bagi ECOSWED, projek pengubahsuaian mempunyai makna yang istimewa kerana rumah itu merupakan penjelmaan fizikal pembina asal wanita, kemerdekaan, ketabahan dan persahabatan.