Sahut Cabaran Pelancongan Budaya 4.0, Eksport Keunikan Luar Sempadan
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Negeri Terengganu wajar meletakkan sasaran dalam mengeksport kekayaan budaya ke luar negeri dan negara dalam menghadapi norma Pelancongan Budaya 4.0 atau Cultural Tourism 4.0.
Galakan tersebut disuarakan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis, yang melihat kepelbagaian budaya seperti penceritaan sejarah, makanan dan seni kraftangan sebagai potensi produk eksport ke luar sempadan negara.
“Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam mengerakkan usaha ini, apa kata kita eksport produk pelancongan ini seperti yang dilakukan negara Korea Selatan.
“Contohnya, negara tersebut berjaya memperkenalkan dan memperkukuhkan budaya mereka seperti restoran makanan Korea, rancangan K-Drama dan sebagainya dalam negara kita, mengapa mereka berjaya?
“Ini kerana inisiatif dalam Cultural Tourism 4.0, Nasi Dagang sudah sampai ke London, namun usaha ini perlu dipertingkatkan lagi supaya mereka di luar sana kenali dan boleh rasai keunikan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah World Excellence Tourism Awards di Puncak Gamelan, Primula Beach Hotel di sini kelmarin.
Sementara itu, beliau turut kagum dalam usaha Terengganu mengeluarkan pelbagai inovasi produk dan aktiviti pelancongan secara konsisten untuk menggalakkan lebih pelancongan domestik.
“Walaupun berhadapan pandemik COVID-19, tapi di sini sentiasa ada pengisian tarikan pelancongan, diharapkan momentum ini diteruskan dengan produk inovasi seperti ‘virtual tourism’ seperti Facebook Live untuk pancing lagi pelancong luar,” tambahnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan penggiat dan pekerja pelancongan, Uzaidi menyifatkan langkah tersebut adalah sangat berkesan dalam membantu golongan sasar itu.
“Ini sedikit sebanyak dapat bantu penggiat pelancongan seperti pemandu bot, ejen pelancongan, para pengusaha dalam negeri dan sebagainya yang terkesan akibat kemelesetan pelancongan.