Sambutan luar biasa rakyat ketika kunjungan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu pada 15 dan 16 April lalu membuktikan momentum sokongan terhadap UMNO kekal relevan dan teguh, sekali gus memberi petanda positif untuk Barisan Nasional mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kebanjiran orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat yang luar biasa itu memperlihatkan satu transformasi politik sedang berlaku di parlimen dilawati pemimpin utama negara itu, dan seluruh Terengganu, amnya.
“Apabila datang ke DUN (Dewan Undangan Negeri) Ladang ini pula, saya nampak satu semangat berbeza. Walaupun mereka terpaksa menunggu saya selama dua jam tetapi nampak air muka mereka penuh kegembiraan. Saya yakin DUN Ladang akan menjadi milik kita.
“Parlimen Kuala Terengganu juga kita akan ambil balik, kerana rakyat sudah sedar permainan pembangkang yang hanya pandai bercakap tetapi mereka gagal melaksanakan, sedangkan kawasan ini sendiri kawasan pembangkang, jadi tidak guna mereka hanya berceramah tetapi gagal membantu rakyat. Jadi saya yakin rakyat akan menyokong UMNO dan Barisan Nasional,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena lawatan kerja sehari YAB Menteri Besar Terengganu ke DUN Ladang, di Dewan Sivik Pasir Panjang, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Pegawai Penyelaras DUN, Dato’ Mohd Sabri Alwi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
Hadir sama, Pegawai Penyelaras Parlimen Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar yang juga Ketua Wanita UMNO Kuala Terengganu.
Hadir sama, Pegawai Penyelaras Parlimen Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar yang juga Ketua Wanita UMNO Kuala Terengganu.
Menteri Besar turut melancarkan tagline `wi gok sekali’ bersama Pemuda/Puteri UMNO di Padang Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang.
Ahmad Razif sebelum itu juga berkata, lawatan beliau antara lain untuk memfokuskan tiga perkara utama di kalangan rakyat khususnya menangani kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan serta membina perumahan untuk rakyat yang kurang berkemampuan.
Dalam sesi lawatan sebelah pagi, beliau sempat meninjau Pasar Bukit Besar dan melihat isu-isu yang dihadapi peniaga terutama bahagian barang basah serta akan memastikan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan yang diterima mereka.
“Saya berkesempatan melawat Pasar Bukit Besar dan melihat isu melibatkan peniaga terutama peniaga ikan, daging dan ayam, seterusnya saya akan minta MBKT melihat semula (laporan) bagi merancakkan perniagaan mereka dalam usaha menangani kos sara hidup.
“Saya juga berpeluang berjumpa orang muda dan warga pendidik termasuk pengetua di DUN Ladang bagi mengetahui permasalahan yang mereka hadapi. Selain itu, kita juga berjumpa penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dapat menambah baik kaedah bagi melancarkan bantuan kepada golongan sasar,”katanya.