Sambutan Penubuhan 30 Tahun YPU Bermula 7 Mac Ini

KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bakal menganjurkan Sambutan 30 Tahun YPU Terengganu dari 7 hingga 9 Mac 2024 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Afnida Aini Alwi berkata sambutan penubuhan YPU 30 Tahun diadakan buat pertama kali bagi mengimbau kembali asal penubuhannya sejak tahun 1994.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan sempena tiga dekad penubuhan YPU Terengganu ini.

“Pada hari pertama, 7 Mac, kami adakan majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pada sebelah malamnya pula ceramah agama yang akan disampaikan oleh  Ustaz Azhar Idrus.

“Pelbagai acara sampingan lain turut disajikan kepada orang ramai antaranya Karnival Usahawan melibatkan hampir 150 lot termasuk pameran agensi serta jualan produk usahawan tempatan, ‘Batik Fun Walk’, Bicara Usahawan, Pertandingan Menghias Donut, Pertandingan Pakaian Beragam Batik Kanak-Kanak dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, penyertaan para usahawan dan agensi yang mencecah seramai hampir 150 lot yang akan dibuka sepanjang berlangsungnya sambutan itu, ianya dijangka akan dapat menarik pengunjung untuk hadir.

“Bagi Galeri A, kami akan menempatkan sebanyak 60 lot agensi dan usahawan, manakala Galeri B pula 75 lot dengan melibatkan pameran-pameran agensi serta produk jualan yang terdiri daripada usahawan-usahawan Terengganu.

“Dijangkakan lebih 10,000 pengunjung akan hadir memeriahkan sambutan ini yang akan berlangsung bermula 7 hingan 9 Mac 2024,” katanya.