• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Sambutan Tahun Baru 2020 Kemaman Capai Matlamat


Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 6 Januari - Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru yang berlangsung di Dataran Padang Astaka, Kemaman menjelang awal tahun baru-baru ini berjaya mencapai matlamatnya dengan mesej yang tersendiri.

Pengarah program, Mohd Nakhaie Mohd Nafiah berkata, semangat menyambut tahun baharu pada kali ini berlainan dengan tahun-tahun yang lalu.

"Kita tidak mengadakan pertunjukan bunga api dan kita mengadakan pengisian yang berjaya menyentap hati pengunjung yang hadir dengan Pentomen Sakaratul Maut," ujarnya.

Program pada kali ini juga berjaya membawa kumpulan nasyid tanah air yang terkenal, Rabbani. Sebelumnya, penganjur turut mengadakan solat jemaah dan solat hajat bagi mendoakan keselamatan kepada rakyat Uighur di China yang ditindas.

Selain itu, program pada kali ini turut menampilkan pertunjukan silap mata yang berjaya memukau semua pengunjung yang hadir dengan aksinya.


Tambahnya lagi, beliau mengharapkan mesej yang dibawa kepada semua sama ada yang hadir ke tapak program ataupun yang menonton siaran langsung di Facebook memberi impak berkesan lebih-lebih lagi apabila pengunjung diingatkan tentang kematian dalam persembahan Pentomen itu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang memberi peluang dan kepercayaan kepada mereka (Pemuda PAS DUN Cukai) melaksana dan menjayakan program.

"Terima kasih juga diucapkan kepada semua penaja yang turut menyumbang dan kepada jawatankuasa program yang memberikan komitmen yang sangat baik," katanya lagi.


Sehari sebelum itu turut diadakan program yang diadakan di Kemaman iaitu Bicara Menjelang 2020 Ke Arah Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Hadir sama, penceramah dan pakar motivasi, Ustaz Abdullah Khairi bergandingan dengan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.

Kedua-dua program tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu.

Tag: