Saran Pilih Resort Dan Hotel Miliki Sijil Halal


Kerajaan negeri menyarankan agar jabatan kerajaan, agensi swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan di negeri ini agar memilih  resort atau hotel  yang memiliki sijil  halal untuk mengadakan pelbagai  program dan aktiviti.

Langkah itu bukan sahaja dapat meningkatkan  ekonomi pengusaha Islam malah membantu masyarakat miskin setempat melalui pembayaran zakat harta.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia dan Tugas- Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata berdasarkan rekod Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu  (JHEAT) , sebanyak 126 premis perniagaan di Terengganu, termasuk 26 dapur hotel dan resort di negeri ini memiliki status halal sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Katanya, jumlah ini tidak memberangsangkan dan berharap lebih banyak pemilik premis makanan, pengusaha hotel dan resort akan memohon sijil halal.

“Sijil halal yang diperoleh akan tamat dalam tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh tersebut, Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan (Bahagian Pengurusan Halal) JHEAT  akan membuat pemeriksaan mengejut.

“Sekiranya gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan, tindakan undang-undang akan diambil,”katanya.




Tag: